Dialog Utara entiti simbiosis serumpun

Sebahagian peserta yang menghadiri Dialog Utara ke-16 di Ipoh, Perak baru-baru ini.
Sebahagian peserta yang menghadiri Dialog Utara ke-16 di Ipoh, Perak baru-baru ini.
A
A
A

KEHADIRAN ‘Dialog Utara Ke-16’ di Ipoh pada 23 hingga 25 September lalu telah mencerminkan kewujudan satu entiti simbiosis yang berkesan, khusus membicarakan tentang kelestarian alam dalam bahasa, sastera dan budaya serumpun.

Entiti simbiosis ialah tanda hubungan erat dalam kalangan warga serumpun yang boleh dimanfaatkan demi kepentingan dan keuntungan bersama.

Kerajaan Perak dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) telah mencipta satu entiti simbiosis yang boleh dikatakan sebagai ‘mercu tanda bahasa dan sastera’ di wilayah utara Sumatera, negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand yang termasuk dalam lingkungan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) Malaysia. Justeru dalam proses mem-bangunkan wilayah, NCER tidak harus mengabaikan mercu tanda itu.

Program Dialog Utara (Duta) menjelma setiap dua tahun sekali yang dicetuskan oleh Gapena bermula pada 1982 kerana ingin mengeratkan ikatan persuratan di wilayah berjiran seperti negeri-negeri utara Semenanjung (Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis), selatan Thailand (Yala, Narathiwat dan Pattani) serta utara Sumatera (Sumatera Utara dan Aceh) yang mempunyai kesamaan dari segi bahasa, budaya serta sejarahnya tersendiri.

Duta siri ke-16 ini dikelolakan atas landasan kesepakatan Gapena dengan para penulis negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan wakil Majlis Adat Melayu Indonesia (Mabmi) Medan, wakil Universiti Aceh dan perwakilan penulis dari wilayah Thailand serta turut mendapat sokongan biaya dan kepakaran daripada kerajaan Perak, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perak (PPANPk).

Pertemuan para penulis itu berpakat membicarakan tentang alam, bahasa dan sastera yang menjadi entiti simbiosis dalam manfaat mikro untuk melahirkan karya sastera kreatif bermutu tinggi.

Misalnya, buku koleksi kertas kerja Kelestarian Alam dalam Bahasa, Sastera dan Budaya serta antologi sajak Sifat Rimba terbitan sempena Duta ke-16 menyebar ke seluruh pelosok wilayah utara secara fizikal atau mungkin juga digital yang membolehkan warga di wilayah itu membaca karya tersebut.

Lantaran itu, Duta selaku ejen paling tepat memikirkan pasaran karya sastera dalam kelompok wilayah kerana ia mampu mencetuskan keuntungan ekonomi bagi membantu objektif NCER.

Artikel Berkaitan:

Malah, tidak terikat hanya kepada karya sastera tetapi boleh melebar ke korpus pertukaran budaya, pemantapan bahasa, malah pewujudan silang etnik antara wilayah dapat ditonjolkan bagi memupuk entiti simbiosis lestari terhadap alam sifatnya.

Hubungan silang etnik dalam kelompok wilayah utara sudah pun berlaku sejak zaman bahari lagi terutama menerusi perkahwinan, perantauan dan perdagangan.

Etnik Aceh misalnya, terdapat di Kedah; Batu Bahara (Sumatera Utara) boleh ditemui di kampung-kampung pesisir Sungai Dinding, Perak, malah orang Pattani (selatan Thailand) ramai berniaga tomyam di Malaysia.

Kerapatan variasi etnik dalam wilayah utara sebenarnya sudah terjalin erat, tinggal lagi peranan Duta untuk memantapkan dan mewujudkan peluang-peluang ekonomi terutama penyebaran karya sastera dalam kalangan wilayah dihuni kira-kira 15 juta jiwa yang memahami dan menggunakan bahasa Melayu sebagai lingua-franca dan harus dimulakan dari sekarang.

Keberanian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memecah tradisi berucap dalam bahasa Melayu pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) adalah titik tolak kepada mubaligh bahasa untuk proaktif melunasi impian Hamzah Fansuri, Amir Hamzah, Tun Seri Lanang malah Abdullah Hussein dan Shahnon Ahmad yang telah menyegar-bugarkan bahasa Melayu pada zaman mereka.

Sebagai ejen kelestarian alam, penulis atau mubaligh bahasa seharusnya memperoleh rangsangan serta dorongan daripada keberanian Ismail Sabri yang disifatkan sebagai wira pencetus dan pembangkit semangat kita untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

SEJARAH DUTA

Ipoh pernah kali pertama dikunjungi Duta pada tahun 1997, namun setiap dua tahun sekali Duta bertandang ke kota-kota di wilayah utara seperti Pulau Pinang (1982 dan 2007), Medan, Indonesia (1984, 1989 dan 2013), Arau, Perlis (1986), Alor Setar, Kedah (1991), Banda Aceh, Indonesia (1995 dan 2016), Yala, selatan Thailand (1999, 2003 dan 2015), Medan-Padang Sidempuan, Indonesia (2001) dan Lhokseumawe, Aceh Timur (2005).

Keberhasilan itu harus dipuji, malah Gapena patut berbangga kerana mampu meneruskan penganjuran Duta walaupun teraju kepimpinannya kian berganti.

Selaku badan bukan kerajaan yang memelihara kelangsungan dan hayat persuratan Melayu di Malaysia mahupun di mana-mana wilayah utara, Gapena harus diberikan geran atau dana dwitahunan oleh NCER bagi membiayai kos penganjuran Duta supaya forum tersebut mampu menarik minat sarjana serta intelektual bahasa, sastera dan budaya serumpun.

Negeri-negeri Malaysia di utara Semenanjung cukup bertuah kerana kewujudan NCER sebagai pemangkin ekonomi tempatan yang tempiasnya menyebar ke wilayah utara Sumatera, Aceh dan selatan Thailand. Peranan NCER penting dalam menyuburkan ekonomi serumpun bagi banyak aspek perdagangan seperti pelancongan, pemasaran produk, pendidikan, bahan mentah, perkilangan dan lain-lain.

Kuasa pasaran 15 juta jiwa bukan sedikit keuntungan ekonomi dapat diperoleh dengan penawaran produk lazim yang ada nilai tambah. NCER menyedari hakikat itu kerana agensi yang ditubuhkan oleh pemain-pemain ekonomi Malaysia itu telah mempunyai set pemikiran tersebut, tinggal lagi teraba-raba pendekatan dan strategi ampuh, justeru Duta wajar menjadi pembekal kedua korpus itu kepada NCER untuk bersama-sama memakmurkan wilayah utara serumpun!

Menerusi dialog dan forum, pelan serta strategi boleh dicanai dan dirumuskan bagi memenuhi objektif masing-masing. Potensi eko-pelancongan yang lumrah terdapat di wilayah utara harus dimajukan dan dibaik pulih untuk memberikan manfaat ekonomi kepada pemain-pemain industri pelancongan.

Duta Ke-16 di Ipoh seharusnya menambah sedikit matlamat penganjuran dengan memasukkan faedah ekonomi di samping bahasa, sastera dan budaya yang menjadi objektif utama forum itu.

* M Zaki Arif ialah nama pena Dr Zabidin Haji Ismail. Beliau ialah penulis, penyunting, penerbit dan Presiden Persatuan Karyawan Perak (Karyawan Pk)