Memori indah Daryl Sham

Daryl
Daryl
A
A
A

DINOBAT juara Liga Premier Johor Darul Ta'zim II (JDT II) bukan sahaja menjadi satu memori indah kepada penyerang muda, Daryl Sham malah lebih bermakna dia muncul penjaring terbanyak Liga Premier bagi kategori pemain tempatan.

Menurut Daryl, dia tidak sama sekali menyangka musim ini menjadi detik terbaik dalam kariernya ketika berasakan masih banyak lagi perkara perlu dipelajari selaku pemain muda.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting buat Daryl ialah jaringan-jaringannya itu membantu kejuaraan buat pasukan malah semangat berpasukan yang tinggi turut membantu kepada kejayaan JDT II merangkul gelaran Liga Premier buat pertama kali sejak musim 2014.

"Saya sangat gembira kerana Liga Premier ini merupakan kejuaraan pertama saya di peringkat senior dan memenanginya, satu pencapaian yang sangat bermakna dalam kerjaya.

"Tambahan musim ini saya telah berjaya menjaringkan sembilan gol (penjaring terbanyak bagi pemain tempatan Liga Premier), ini juga satu kejayaan yang tidak disangka-sangka dan sangat besar kerana saya ini pemain muda yang baru hendak belajar.

"Namun, apa lebih penting adalah kejuaraan yang kita menangi ini sebenarnya merupakan kerjasama semua pemain dari awal musim lagi dan tidak pernah cepat putus asa.

" Untuk musim depan, saya harap boleh lagi menyinar dengan pasukan serta mendapatkan minit permainan yang banyak," katanya.

Daryl berkongsi kedudukan dengan penyerang Kelantan, Nurshamil Abdul Ghani bagi penjaring tempatan terbanyak Liga Premier apabila masing-masing menjaringkan sembilan gol.

Artikel Berkaitan:

Malah dia turut meledak satu jaringan pada aksi terakhir berdepan Selangor 2 di Stadium UiTM Shah Alam bagi membantu kemenangan 1-0 dan seterusnya memastikan kedudukan mereka di tangga teratas tidak terjejas melalui pungutan 42 mata.

Sementara itu, ketua pasukan yang juga penjaga gol JDT II, Mohd Izham Tarmizi, berasa kagum dengan komitmen serta semangat yang ditunjukkan pemain-pemain muda yang menjadi salah satu kunci utama di sebalik kejayaan pasukan.

Tambahnya, sikap terbuka menerima arahan serta teguran selain pengalaman yang diraih semasa mewakili pasukan kebangsaan bagi kejohanan bawah umur turut membantu kepada kecemerlangan JDT II.

"Pertama sekali, saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain-pemain muda yang telah berikan segalanya dan sentiasa mengikut arahan walaupun ada yang turun serta naik prestasi mereka namun berikan komitmen sepenuhnya.

"Dari 2014 hingga sekarang, ini merupakan kejuaraan pertama buat saya dan JDT II, kami memang layak memenangi kejuaraan jika prestasi kami dinilai secara keseluruhan.

"Tambahan pemain-pemain muda di sini banyak beraksi mewakili pasukan negara untuk kejohanan bawah umur dan pengalaman dari luar itu dibawa ketika bersama JDT II," katanya.

Mohd Izham

" Tidak dilupakan, kata-kata motivasi dari TMJ (Tengku Mahkota Johor) yang sentiasa menjadi tonik kepada pemain-pemain JDT," katanya.