Fasa peralihan monsun bermula 3 Oktober ini

MetMalaysia meramalkan fasa peralihan monsun akan bermula 3 Oktober ini.
MetMalaysia meramalkan fasa peralihan monsun akan bermula 3 Oktober ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan fasa peralihan monsun di dalam negara akan bermula pada 3 Oktober ini dan dijangka berterusan sehingga November 2022.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa fasa tersebut, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah, sesuai untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa singkat.

Katanya, kejadian itu berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri pantai barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta tengah Sarawak.

“Keadaan cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

“Orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan serta amaran cuaca yang dikeluarkan oleh MetMalaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Katanya, maklumat mengenai ramalan dan amaran cuaca boleh didapati melalui laman web rasmi MetMalaysia, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi hotline 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Artikel Berkaitan: