LTdL 2022: Sepulveda sandaran Androni cabar jersi kuning

Sepulveda menjadi taruhan Androni untuk mencabar jersi kuning dalam saingan LTdL 2022 bulan depan. - Foto Agensi.
Sepulveda menjadi taruhan Androni untuk mencabar jersi kuning dalam saingan LTdL 2022 bulan depan. - Foto Agensi.
A
A
A

PASUKAN Drone Hopper-Androni Giacattoli yang tidak pernah terlepas menyertai perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) sejak tahun 2000 tekad memberi impak pada saingan edisi ke-26 bulan depan.

Pengurus pasukan Gianni Savio berkata, bersandarkan kepada pelumba berpengalaman dan muda, beliau mengakui sangat teruja apabila LTdL kembali diadakan selepas dibatalkan tahun lalu akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun pasukan berstatus pro benua itu menjangkakan saingan perlumbaan tahun ini antara paling sukar berdasarkan kualiti pasukan yang mengambil bahagian.

"Kami sentiasa menyanjung tinggi perlumbaan LTdL iaitu antara yang terbaik dan tersusun di Malaysia dan Asia.

"Selepas pembatalan tahun lalu, kami teruja untuk kembali semula ke Malaysia," ujar Savio dalam laman web rasmi LTdL.

Pasukan yang berpangkalan di Itali itu menyandarkan harapan kepada bekas pelumba Movistar, Eduardo Sepulveda untuk menyerlah pada edisi kali ini.

Savio berkata, pelumba berusia 31 tahun dari Argentina itu berupaya mencabar perebutan jersi kuning (juara keseluruhan) susulan komitmen dan kerja kerasnya sejak awal tahun ini sehingga meraih tempat kedua gelaran Raja Bukit di Tour Turkey.

"Kita juga percaya dengan kemampuan pelumba berpengalaman berusia 37 tahun, Alessandro Bisolti. Dia mampu memberi cabaran terutama di laluan berbukit dan pendakian.

Artikel Berkaitan:

"Bisolti juga diharap mampu menarik pakar pecut, Eduard-Michael Grosu ketika di laluan landai. Dia pelumba kaya pengalaman terutama di perlumbaan besar dan empat kali pernah menyertai Giro d'Italia," kata Savio.

Bisolti pernah mewakili pasukan ternama termasuk Tinkoff Credit System, CSF Navigare dan Farnese Vini sebelum menyertai Androni pada 2018.

Savio juga mendedahkan Grosu yang merupakan bekas pelumba Nippo Delko One Provence, berada dalam prestasi terbaik dan bebas daripada kecederaan sekali gus mampu mencabar pelumba lain di LTdL.

LTdL 2022 akan bermula dengan Peringkat 1 dari Kuala Pilah ke Kuala Lumpur sejauh 157.3 kilometer (km); Peringkat 2 Kuala Klawang-Raub (178.9km) dan Peringkat 3 Putrajaya-Genting Highlands (123.7km).

Peringkat 4 pula melibatkan laluan Sabak Bernam-Meru Raya (137.9km); Peringkat 5 Kuala Kangsar-Kulim (172.0km); Peringkat 6 Georgetown-Alor Setar (120.8km); Peringkat 7 Kuah-Gunung Raya (90.8km) dan Peringkat 8 Loop Langkawi (115.9km).

Edisi ke-26 turut menjanjikan saingan lebih sengit dengan penyertaan enam pasukan profesional dunia - UAE Team Emirates (UAE), Cofidis (Perancis), Lotto Soudal (Belgium), EF Education EasyPost (Amerika Syarikat), Movistar (Sepanyol) dan Astana-Qazaqstan (Kazakhstan).