Gandingan juara Sukan SEA 2021 berpisah

Tang Jie (kiri) dan Yen Wei bersama pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara akhir beregu campuran pada Sukan SEA ke-31. - Foto Bernama
Tang Jie (kiri) dan Yen Wei bersama pingat emas yang dimenangi mereka dalam acara akhir beregu campuran pada Sukan SEA ke-31. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN beregu campuran negara, Chen Tang Jie akan digandingkan bersama pasangan baharu, Yap Ling, dengan mereka bakal membuat penampilan pertama di Terbuka Australia 2022, dijadual pada 15 hingga 20 November ini.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky berkata, rombakan itu terpaksa dilakukan susulan kecederaan lutut yang serius dialami bekas pasangan Tang Jie, Peck Yen Wei, ketika sesi latihan dua minggu lepas.

"Kita harapkan gandingan ini kekal, setelah melakukan perbincangan, Tang Jie punya fikiran dia mahukan Yap Ling,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan, semalam.

Dalam pada itu, pakar beregu Indonesia berkata, pihaknya akan cuba menggandingkan Yen Wei dengan pasangan lelaki baharu sama ada Yap Roy King, Tee Kai Wun ataupun Man Wei Chong, selepas beliau sembuh kelak.

Mei lepas, Tang Jie-Yen Wei berjaya menamatkan penantian 23 tahun Malaysia dalam acara beregu campuran Sukan SEA apabila menumpaskan satu lagi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See 15-21, 21-19, 21-13, untuk merangkul emas pada edisi ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Sementara itu, Rexy memaklumkan akan mengumumkan jurulatih beregu baharu dalam masa seminggu atau dua minggu lagi bagi mengisi kekosongan jawatan jurulatih beregu lelaki dan beregu campuran yang masing-masing dipegang oleh Flandy Limpele dan Paulus Firman, sebelum ini

Pada 1 April lepas, Flandy membuat keputusan mengejut meninggalkan BAM apabila tidak menyambung kontrak selepas dua tahun manakala sebulan kemudian, Paulus, yang kini berkhidmat sebagai ketua jurulatih beregu di Singapura, meletakkan jawatan untuk meluangkan masa bersama keluarga. - Bernama

Artikel Berkaitan: