Enggan dibuai pujian, Syihan mohon doa

Syihan mohon kiriman doa para peminat untuk kekal cemerlang beraksi di gawang. - Foto FB FAM.
Syihan mohon kiriman doa para peminat untuk kekal cemerlang beraksi di gawang. - Foto FB FAM.
A
A
A

ENGGAN pujian memakan diri, penjaga gol sensasi skuad Harimau Malaya, Ahmad Syihan Hazmi selesa merendah diri susulan aksi cemerlang dalam saingan Piala Raja Thailand di Chiang Mai baru-baru ini.

Sebaliknya pemain berusia 26 tahun itu tidak mahu para peminat memujinya keterlaluan, sebaliknya memohon iringan doa agar dia dapat terus beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan.

"Alhamdulillah bersyukur. Pujian itu tak perlu sangat. Apa yang Syihan nak doa sahaja.

"Pujian itu biasa-biasa saja, Syihan nak doa yang baik-baik untuk pasukan, diri Syihan dan pasukan kebangsaan... itu sahaja.

"Syihan hanya ingin memberikan aksi terbaik semampu boleh," katanya ketika ditemui wakil media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2), Sepang pada malam Isnin selepas pulang ke tanah air bersama pasukan dari Chiang Mai, Thailand.

Penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC) itu beraksi cemerlang apabila melepaskan satu gol ketika Malaysia terikat 1-1 dengan Thailand pada aksi sebenar.

Malah pemain kelahiran Kelantan itu juga tangkas di gawang apabila menafikan satu sepakan penalti pemain lawan untuk menang 5-3 sekali gus membantu negara mara ke final bertemu Tajikistan, namun dikecewakan 0-3 juga menerusi sepakan penalti.

"Pujian kita ambil sebagai pembakar semangat untuk terus maju. Apa yang Syihan perlu ialah menjadi lebih baik lagi dan perbaiki apa yang kurang," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas spekulasi 'dirisik' kelab Thailand, Syihan mengakui sedia mempertimbangkan sekiranya ada tawaran.

Bagaimanapun fokusnya ketika ini ialah bersama NSFC yang akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim menentang pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 1 Oktober.

“Buat masa ini, Syihan hanya fokus dengan NSFC dan belum membuat sebarang keputusan.

“Syihan tidak pasti tentang khabar angin itu. Insya ALLAH (pertimbang tawaran) dan akan serahkan sepenuhnya kepada ejen untuk uruskan,” katanya.