[VIDEO] OKU lipat 1 juta sampul surat setiap bulan

Aqil Nazhan tekun melipat sampul surat
Aqil Nazhan tekun melipat sampul surat
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Meskipun menggunakan tenaga kerja orang kurang upaya (OKU) sepenuhnya, namun Bengkel Seri Sembilan di sini mampu menyiapkan satu juta tempahan sampul surat setiap bulan.

Ia sekali gus membuktikan golongan ini jika diberi peluang, mereka juga mampu untuk melakukannya sama seperti insan normal lain.

Mereka terdiri daripada 28 OKU dari pelbagai kategori yang kebanyakannya mempunyai masalah pembelajaran, pekak dan bisu yang berusia antara 18 hingga 64 tahun.

Pengurus Bengkel Seri Sembilan, Harunarrsheed Mohd Ibrahim berkata, membuat sampul surat merupakan pekerjaan utama di bengkel itu sejak tahun 1984 dan kini mampu menjana pendapatan sehingga RM150,000 setiap bulan.

Harunarrsheed
Harunarrsheed

“Kita mendapat kontrak secara terus daripada Kementerian Kewangan untuk membekalkan sampul surat pelbagai saiz di lebih 400 jabatan kerajaan di seluruh Semenanjung Malaysia.

“Pemprosesan itu bermula dari awal sehinggalah kepada penghantaran dan mereka ini bekerja pada setiap Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, setiap pekerja akan dibayar mengikut jumlah sampul surat yang dilipat dan mampu menjana pendapatan sehingga RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Pekerja Bengkel Seri Sembilan trkun melipat sampul surat
Pekerja Bengkel Seri Sembilan trkun melipat sampul surat

Kata Harunarrsheed, pengambilan pekerja juga tidak dibuat sewenang-wenangnya dan setiap pemohon akan ditemuduga bagi mengenal pasti tahap kemampuan mereka.

“Sebenarnya di bengkel kita ini ada lagi bidang pekerjaan lain, tapi permohonan untuk bekerja buat sampul surat ini paling ramai kita terima termasuk luar dari Negeri Sembilan.

“Walaupun kerja mereka hanya melipat sampul surat, tapi kita perlu jaga kualiti dan sebab itu setiap pekerja akan diberi tempoh percubaan selama tiga bulan sebelum diberikan tetap,” katanya.

Keistimewaan pekerja OKU di bengkel itu ujarnya, kerana kos tempat tinggal dan makan serta minum ditanggung sepenuhnya oleh pihak pengurusan bengkel.

Malah katanya, mereka juga akan diberi Elaun Pekerja Cacat (EPC) oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 sebulan.

“Kita ada mesin, tapi matlamat kita untuk beri peluang pekerjaan kepada OKU kerana bukan semua mampu untuk bekerja di luar yang suasananya lebih mencabar buat golongan seperti mereka,” katanya.

Bagaimanapun beliau mengakui dengan peredaran masa yang kini kebanyakannya beralih kepada sistem email, tempahan sampul surat yang diterima semakin berkurangan.

Oleh sebab itu katanya, bengkel sentiasa mencari alternatif lain dalam usaha menjana pendapatan buat OKU.

Siti Norqini
Siti Norqini

Sementara itu Siti Noraini Raduan, 36, yang merupakan OKU kategori masalah pembelajaran berkata, bersyukur kerana berpeluang mencari pendapatan sendiri kerana selama ini hanya bergantung harap dengan keluarga.

“Saya memang tak pernah bekerja dan selama ini hanya duduk di rumah saja. Kadang-kadang bosan juga, kerana tak tahu nak buat apa.

“Jadi, saya cuba nasib memohon kerja di bengkel ini dan alhamdulillah sejak Februari lalu saya mula bekerja di sini. Ia menyeronokkan kerana ramai kawan,” katanya.

Aqil Nazhan Rahman,29, yang juga mempunyai masalah pembelajaran pula berkata, pernah bekerja di sebuah kedai runcit, tetapi tidak bertahan lama.

“Yalah, keadaan saya dengan mereka itu lain. Susahlah sikit bagi sesetengah orang nak faham. Bila dapat peluang kerja di bengkel ini saya bersyukur sangat,” katanya.