Republik Czech mangsa belasahan Portugal

Dalot menyumbat dua gol ketika membantu Portugal menewaskan Republik Czech 4-0 pada Liga Negara-Negara. - Foto Agensi
Dalot menyumbat dua gol ketika membantu Portugal menewaskan Republik Czech 4-0 pada Liga Negara-Negara. - Foto Agensi
A
A
A

PORTUGAL hanya memerlukan satu mata untuk mara ke playoff Liga Negara-Negara selepas membenam Republik Czech 4-0 di Prague pada Ahad.

Skuad bimbingan Fernando Santos itu akan melayan kunjungan Sepanyol dalam aksi terakhir Kumpulan 2 Selasa ini.

Portugal yang menjuarai edisi pertama Liga Negara-Negara pada 2019 memimpin Kumpulan 2 dengan 10 mata, dua mata di depan Sepanyol yang tewas 1-2 kepada Switzerland di laman sendiri.

Pemain pertahanan, Diogo Dalot membuka tirai jaringan selepas menewaskan penjaga gol lawan, Tomas Vaclik pada minit ke-33

Bruno Fernandes kemudian menjadikan 2-0 pada penghujung aksi babak pertama hasil hantaran Mario Rui dari sebelah kiri.

Seminit kemudian, pasukan tuan rumah mengsia-siakan peluang apabila percubaan Patrik Schick tersasar.

"Babak pertama amat bagus, ia kualiti cemerlang.

"Kami memang sudah bersedia untuk bertemu mereka dan tidak membiarkan mereka menunjukkan sesuatu.

Artikel Berkaitan:

"Apabila kami menjaringkan gol kedua, Czech gagal menyempurnakan penalti dan mereka bertambah gementar. Kami pula terus fokus dan rasa selesa," ujar Santos.

Dalot menambah jaringan kedua pada minit ke-52.

Pemain gantian, Diogo Jota menambah derita Czech apabila menanduk masuk gol keempat pada lewat permainan.