Kongsi rezeki dalam majlis ilmu

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Tengku Norhanim, Baharul Hafidz)
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Tengku Norhanim, Baharul Hafidz)
A
A
A

SHAH ALAM - Niat untuk berkongsi rezeki menjadi pendorong utama bagi para penaja memberi sumbangan makanan dan minuman buat pengunjung yang menjayakan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My#QuranTime 1.0.

Ketua Pegawai Eksekutif Nims Crispy Choco Tub, Tengku Norhanim Tengku Othman berkata, program bacaan dan tadabbur al-Quran secara beramai-ramai itu berupaya menjadi platform untuk umat Islam memperoleh pahala dan keberkatan daripada ALLAH SWT.

Malah katanya, ia juga bertepatan dengan hasrat syarikat melaksanakan program amal dan kebajikan melalui program ‘Nims Care For You’.

“Niat kami untuk berkongsi rezeki dan mencari pahala lebih. Syarikat kita juga ada menyediakan peruntukan melalui dana 'Nims Care For You’ untuk memberi infak kepada komuniti seperti golongan asnaf, orang kurang upaya (OKU) termasuk menaja program ilmu seperti ini.

“Kita juga harapkan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My#QuranTime 1.0 ini dapat dilaksanakan setiap tahun bagi mengajak lebih ramai individu terlibat dalam sesi bacaan al-Quran, begitu juga penglibatan pihak penaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Tengku Norhanim berkata, setakat ini pihaknya bersetuju untuk menyumbangkan sebanyak 1,000 pek makanan.

“Ini termasuk 300 pek nasi kerabu ayam percik, set nasi gulai ikan patin tempoyak (200) dan set nasi Tiga Budak Gemok (200). Baki 300 pek lagi akan dimaklumkan kemudian,” jelas beliau.

Sementara itu, Pengarah Urusan Tempurung Salai, Baharul Hafidz Abu Bakar menyifatkan Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My#QuranTime 1.0 sebagai program yang dapat mengimarahkan kemuliaan Islam.

Artikel Berkaitan:

Justeru, ujarnya, penajaan tersebut bertujuan mendapatkan keberkatan menerusi fardu kifayah iaitu memudahkan urusan pihak lain dan saling melengkapi.

“Dengan ini diharapkan program bacaan dan tadabbur al-Quran berkenaan dapat berjalan lancar dan kebajikan peserta program dari aspek pemakanan dapat dijaga.

“Tambahan pula, (Kumpulan Media) Karangkraf sering membuat tempahan daripada Tempurung Salai dalam kebanyakan program sebelum ini, maka kini tiba masa buat kami berbakti semula kepada komuniti,” ujar beliau yang menaja 200 set ayam dan daging salai.

Pihak Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) turut mengalu-alukan sumbangan makanan daripada mana-mana pihak untuk 5,000 peserta Majlis Konvokesyen Khatam Tadabbur My#QuranTime 1.0 yang bakal berlangsung pada 8 Oktober.

Pihak yang mahu memberikan penajaan boleh menghubungi wakil WUIF di talian 013-394 6471.