Petugas, peserta larian dirempuh kereta

Kereta jenis Toyota Altis yang dipandu seorang lelaki (berbaju hitam) merempuh dua mangsa pagi tadi.
Kereta jenis Toyota Altis yang dipandu seorang lelaki (berbaju hitam) merempuh dua mangsa pagi tadi.
A
A
A

BAYAN BARU- Seorang petugas kawalan lalu lintas cedera di bahagian kepala selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah kereta awal pagi tadi.

Kejadian itu berlaku ketika mangsa sedang mengawal lalu lintas acara larian tahunan, Penang Amateur Athletic Association (PAAA) Annual Round The Island Relay.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 51 tahun itu menunggang motosikal bersama salah seorang peserta berusia 16 tahun.

Peserta tersebut yang juga pelajar sekolah turut mengalami patah kedua-dua belah kakinya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya, Deputi Superintendan Jafri Md Zain berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.10 pagi tadi berhampiran sebuah kilang di Jalan Sultan Azlan Shah di sini.

Peserta larian patah kedua-dua kakinya dalam kejadian awal pagi tadi.
Peserta larian patah kedua-dua kakinya dalam kejadian awal pagi tadi.



Menurutnya, ketika mangsa membawa salah seorang peserta simpanan acara tersebut, datang sebuah kereta dari arah Bayan Baru lalu melanggar motosikal mangsa dari arah belakang.

"Kereta jenis Toyota Altis yang dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun tiba-tiba datang dari arah belakang lalu melanggar kedua-dua mangsa. Akibat daripada pelanggaran itu, kedua-dua mangsa melambung bersama motosikal yang dinaiki.

"Tempat kejadian merupakan jalan lurus yang mempunyai tiga lorong. Dari siasatan dijalankan, kejadian berlaku di lorong tengah namun membawa ke lorong kanan," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel Berkaitan:


Menurutnya, ketika kejadian, cuaca dalam keadaan baik dan tempat kejadian agak gelap namun berlampu.

"Keadaan lalu lintas di kawasan itu juga baik dan lancar. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan. Kereta tersebut mengalami kerosakkan pada bahagian hadapan kanan manakala motosikal mangsa mengalami kerosakkan pada bahagian kiri dan belakang.

"Pemandu kereta yang merupakan seorang peniaga ditahan untuk siasatan. Dia mempunyai lesen memandu dan kenderaannya mempunyai cukai jalan yang sah tempoh. Dia turut dibawa ke hospital untuk ujian darah bagi menguji kandungan alkohol," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.