Izzah kian menyala, raih emas keempat

Izzah mengumpul emas keempat peribadi pada Sukma MSN 2022. - Foto FB MSN Kedah.
Izzah mengumpul emas keempat peribadi pada Sukma MSN 2022. - Foto FB MSN Kedah.
A
A
A

KAYUHAN padu pelumba basikal trek wanita Kedah, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri seakan tidak boleh disekat apabila unggul mengumpul emas keempat peribadi dalam Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Pelumba berusia 19 tahun itu dilihat semakin serasi dengan Velodrom Nasional Malaysia, Nilai apabila menjuarai acara keirin pada Rabu.

Atlet kebangsaan itu tidak mengalami sebarang masalah untuk mengatasi lima pelumba lain sekali gus menamatkan perlumbaan dalam tempoh 12.027 saat (s).

Pelumba Pulau Pinang, Nurul Aliana Syafika Azizan terpaksa berpuas hati dengan perak biarpun dia cuba mengerah kudrat menyaingi Izzah di selekoh akhir dan gangsa menjadi milik Yong Ann Yii dari Selangor.

Izzah bagaimanapun masih belum berpuas hati dengan pencapaian itu dan mahu memperbaiki segala kelemahan selain menyifatkan pelumba dari negeri lain turut memberikan saingan sengit.

“Saya bersyukur untuk satu lagi pingat emas dan berharap selepas ini boleh tambah baik lagi dalam acara lain pula. Saya pun tak jangka boleh dapat nombor satu sebab ruang sudah sempit di penghujung perlumbaan.

Kayuhan emas Izzah dalam acara keirin di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Rabu. - Foto FB MSN Kedah
Kayuhan emas Izzah dalam acara keirin di Velodrom Nasional Malaysia, Nilai pada Rabu. - Foto FB MSN Kedah

“Apa yang saya fikir adalah untuk lolos saja. Kebanyakan pelumba pun berikan saingan yang sengit dan saya pun agak gementar dalam perlumbaan akhir tadi. Jangan pandang rendah dekat orang lain dan teruskan berjuang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod pelumba kelahiran Jitra itu mencipta sejarah apabila memenangi pingat emas acara 500 meter ujian masa pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia di New Delhi, Jun lalu.

Selepas berakhir Sukma, Nurul Izzzah akan membuat persiapan bagi menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Perancis bulan depan.

Izzah sebelum ini mengungguli acara 500 meter (m), acara pecut individu dan pecut berpasukan.