Rebut peluang pasaran lemak bakeri di China: Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A
A

MALAYSIA perlu mengembangkan bahagian pasarannya dalam pasaran lemak bakeri di China, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, China terpaksa mengimport bahan mentah terutamanya dari Indonesia dan Malaysia kerana pengeluaran tahunan lelemak di China tidak mampu menampung permintaan penggunaan domestik yang semakin meningkat setiap tahun.

Menurut Zuraida, pada 2021, Malaysia mengeksport sebanyak 7,655 tan metrik lelemak ke China.

Mengambil kira perkara ini, beliau menggesa pengeluar lelemak dan marjerin tempatan agar menjalinkan hubungan secara proaktif dengan pengusaha bakeri terkemuka di ekonomi kedua terbesar dunia itu.

"Walaupun bahagian pasaran negara dalam industri bakeri China ketika ini kecil, Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia mampu mengembangkan bahagian pasarannya dengan strategi promosi dan pemasaran yang betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pasaran marjerin China juga berkembang pesat dengan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 20 peratus.

China mengimport bekalan marjerin dari Indonesia, dengan 650 tan metrik dari Malaysia pada 2021, peningkatan 10 peratus daripada 590 tan metrik pada 2020.

Saiz pasaran industri bakeri China meningkat kepada 265.7 bilion yuan (RM172.53 bilion) daripada 187.7 bilion yuan (RM121.88 bilion) dengan purata kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) kira-kira sembilan peratus dari 2017 hingga 2021.

Artikel Berkaitan:

Zuraida berkata, saiz pasaran industri makanan bakeri China dijangka mencecah 287.4 bilion yuan (RM186.62 bilion) pada 2022.

Tahun lepas, pelaburan dalam industri bakeri China mengatasi 26 industri lain dengan jumlah keseluruhan 6.14 bilion yuan (RM3.98 bilion) susulan pemulihan rancak ekonomi negara tersebut pasca COVID-19.

Beliau berkata, industri bakeri di China yang semakin mengembang, yang mana lemak bakeri merupakan antara bahan mentah utama dijangka mendorong keberlimpahan ekonomi bagi segmen hiliran sektor minyak sawit Malaysia.

"Untuk melengkapkan penyertaan industri hiliran minyak sawit, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) telah memulakan kempen Gerakan Global untuk Memenangi Kebaikan Minyak Sawit.

"Platform ini bertujuan untuk mencetuskan kesedaran tentang kualiti minyak sawit Malaysia serta menangkis dakyah dan berita palsu mengenai komoditi nombor satu negara,” katanya. - Bernama