Hakisan tebing hantui penduduk

Keadaan hakisan tebing yang berlaku di salah sebuah rumah penduduk di Kampung Bertam Ulu.
Keadaan hakisan tebing yang berlaku di salah sebuah rumah penduduk di Kampung Bertam Ulu.
A
A
A

MELAKA - Penduduk di Kampung Bertam Ulu, Bertam di sini, hidup dalam ketakutan setelah berlaku hakisan tebing sungai yang berisiko menyebabkan tanah runtuh di kampung mereka.

Masalah yang menghantui kira-kira 200 penduduk turut mengakibatkan penduduk mengakami kerugian kerana ada diantara mereka kehilangan sebahagian tanah setelah dihanyutkan arus deras air Sungai Bertam Ulu.

Penduduk terbabit, Mazlan Ling Hassan, 60, mendakwa, kehidupan mereka sekeluarga sentiasa dalam kebimbangan lebih-lebih lagi setiap kali hujan lebat kerana rumahnya berisiko dihanyutkan arus deras sungai.

Mazlan
Mazlan

Menurutnya, 20 kaki tanah yang terletak di belakang rumah serta tanaman tebu yang diusahakan turut musnah dihakis arus sungai hingga mengalami kerugian lebih RM30,000.

Katanya, masalah itu telah pun dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) namun masih belum dapat diselesaikan sehingga kini walaupun dipercayai bajet telah diluluskan.

"Kami sekeluarga termasuk isteri dan tiga orang anak hidup dalam ketakutan terutamanya jika hujan lebat pada waktu malam.

"Memang tidak tak lena tidur dan bila hujan lebat saya akan ke belakang rumah untuk melihat hakisan yang berlaku," katanya ketika ditemui di Bertam pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Bagi Majid Md Ali, 63, yang berkata, hakisan itu bukan sahaja membahayakan keselamatan kira-kira 30 buah rumah, malah ribuan pengguna Lebuh SPA (Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh).

Majid
Majid

Ujarnya, kawasan ini bertambah serius sehingga sungai yang dahulunya kecil semakin melebar 'merebak' ke Lebuh SPA di seberang kampung yang boleh membahayakan nyawa ribuan pengguna jalan raya.

"Harap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera terhadap masalah ini yang berpunca daripada beberapa projek perumahan di bahagian hulu sungai.

"Pembagunan tidak terancang itu juga menyebabkan limpahan air dari kolam takungan projek," dakwanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) JPKK Kampung Bertam Ulu, Roslan Hasan, berkata, masalah itu telah dibawa ke pejabat Kompleks Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Sungai Udang dan kerja-kerja pembaikan tebing akan bermula dalam masa terdekat.

Hakisan tebing Sungai Bertam yang merisaukan kira-kira 200 penduduk.
Hakisan tebing Sungai Bertam yang merisaukan kira-kira 200 penduduk.

Menurutnya, kontraktor projek telah dilantik untuk kerja-kerja pembaikan yang dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu namun bergantung pada keadaan cuaca.

"Masalah yang menjadi kerisauan penduduk akan dapat diselesaikan segera dan berterima kasih kepada pihak JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) serta penduduk kampung yang memberikan kerjasama sehingga masalah ini dapat diselesaikan," katanya.