Gempa bumi kuat gegarkan Mexico, seorang maut

Kerosakan pada sebuah bangunan di Guadalajara susulan gempa kuat yang melanda Mexico. - Foto Reuters
Kerosakan pada sebuah bangunan di Guadalajara susulan gempa kuat yang melanda Mexico. - Foto Reuters
A
A
A

MEXICO CITY - Gempa bumi berukuran 7.7 pada skala Richter menggegarkan barat dan tengah Mexico pada Isnin, menyebabkan seorang terbunuh akibat ditimpa tembok di sebuah pusat beli-belah di Manzanillo, Colima, kata Presiden Mexico, Andres Manuel Lopez Obrador.

Gempa bumi itu berlaku pada jam 1.05 petang waktu tempatan (0605 GMT) dan kawasan Colima dan Michoacan paling terjejas teruk, manakala beberapa bahagian di Mexico City turut merasai gegaran.

Menurut Suruhanjaya Persekutuan Elektrik (CFE), 1.2 juta orang terputus bekalan elektrik di Mexico City, Michoacan, Colima dan Jalisco.

Perkhidmatan Seismologi Kebangsaan (SSN) pada awalnya melaporkan bacaan gempa bumi 7.4 pada skala Richter, tetapi mengemas kini bacaan kepada 7.7 pada skala Richter, dua jam kemudian.

Menurut SSN, pusat gempa terletak 63 kilometer (km) di selatan Coalcoman di Michoacan dengan kedalaman 15km.

Menjelang jam 3.20 petang waktu tempatan (0820 GMT), perkhidmatan seismologi mencatatkan 168 gegaran susulan dengan magnitud tertinggi 5.3 pada skala Richter.

Gempa bumi berlaku sejurus selepas latihan gempa bumi tahunan di seluruh negara diadakan sempena memperingati gempa bumi dahsyat pada 1985 yang meragut beribu-ribu nyawa dan meruntuhkan bangunan di seluruh pusat bandar Mexico City. - Bernama

Artikel Berkaitan: