Tak sempat seludup 1,700 minyak masak paket

Antara minyak peket masak yang berjaya dirampas dalam serbuan di Semporna.
Antara minyak peket masak yang berjaya dirampas dalam serbuan di Semporna.
A
A
A

SEMPORNA - Sebanyak 1,700 paket minyak masak dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dirampas dalam serbuan di sebuah tapak kilang kosong Jalan Pinggir Bakau di sini, pada malam Selasa.

Dalam serbuan kira-kira jam 10.30 malam itu, dua lelaki tempatan berusia 21 dan 24 tahun turut ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan itu.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, rampasan dan tangkapan hasil serbuan sepasukan anggotanya di lokasi kejadian.

"Hasil pemeriksaan mendapati 100 kotak minyak masak pelbagai jenama berada di dalam sebuah bilik dipercayai sebagai stor penyimpanan barang kawalan itu untuk diseludup.

"Pemeriksaan lanjut mendapati, setiap kotak mengandungi 17 paket minyak masak disyaki untuk diseludup ke negara jiran selain sebuah lori turut dirampas dalam serbuan itu," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Katanya lagi, dua lelaki yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk tindakan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM49,250 dan barang rampasan diserah kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) cawangan Semporna untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan: