Tak sempat lari, penyamun kedai emas dicekup orang awam

Tindakan pantas orang awam di lokasi kejadian berjaya mematahkan cubaan mencuri barang kemas di sebuah kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada Selasa. - Foto Facebook
Tindakan pantas orang awam di lokasi kejadian berjaya mematahkan cubaan mencuri barang kemas di sebuah kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25 pada Selasa. - Foto Facebook
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan pantas sekumpulan orang awam berjaya mematahkan cubaan seorang lelaki melarikan dua utas rantai emas yang dicuri dari sebuah kedai di Taman Sri Muda, Seksyen 25 di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 1.05 petang daripada seorang wanita tempatan yang juga jurujual di kedai emas terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 12.30 tengah hari dan suspek merupakan lelaki tempatan berumur 34 tahun yang bekerja di sebuah kedai aksesori kereta.

"Suspek berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam dan barang kemas yang dicuri merupakan dua utas rantai berharga lebih kurang RM1,500," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Iqbal berkata, suspek direman tiga hari bermula Rabu untuk membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

"Sebarang maklumat lanjut berhubung kes ini, boleh disalurkan kepada Penolong Pegawai Penyiasat kes iaitu Sarjan Shamsul Azeerin di talian 012-9802652," katanya.

Artikel Berkaitan: