Senjata ibarat bantal peluk ketika perangi komunis

Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, menunjukkan buku 'Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan' yang menceritakan kisah hidup dan pengalaman yang ditempuhnya ketika berkhidmat dalam PDRM semasa ditemui di rumahnya di Pekan Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini. - Foto Bernama
Perjalanan kisah Damin telah dibukukan, hasil penulisan anaknya yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Zahrul Akmal yang berjudul ‘Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan: Biografi SM (B) Hj Damin Bin Hadis’ yang diterbitkan pada 20 Feb 2020.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, menunjukkan buku 'Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan' yang menceritakan kisah hidup dan pengalaman yang ditempuhnya ketika berkhidmat dalam PDRM semasa ditemui di rumahnya di Pekan Pekan Nanas, Pontian baru-baru ini. - Foto Bernama Perjalanan kisah Damin telah dibukukan, hasil penulisan anaknya yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Zahrul Akmal yang berjudul ‘Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan: Biografi SM (B) Hj Damin Bin Hadis’ yang diterbitkan pada 20 Feb 2020. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

PONTIAN - Seolah-olah bantal peluk ketika tidur, Sarjan Mejar (B) Damin Hadis tidak lekang memegang senjata ketika bertugas sebagai anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) sewaktu memerangi pengganas komunis, lebih 40 tahun lepas.

"Tangan sentiasa di senapang baik di ‘base’ atau bertugas, tidak lekang daripada tangan, kalau tidur pun memang menjadi bantal peluk,” kata Damin, 77, yang menggambarkan tahap kesiapsiagaan PPH yang kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am (PGA).

Beliau berkata, terlalu banyak peristiwa hitam dan tragis disaksikannya sepanjang bersama PPH bermula 1968 ketika ditugaskan dalam Platun 9 Kompeni C Batalion 1, Ulu Kinta, Perak yang digelar ‘Tiger Platoon’ serta digeruni komunis dan Platun 2 Batalion 8 Kem Simpang Renggam, Kluang.

Bercerita kepada Bernama, penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) 2018 itu berkata, PPH ketika itu banyak ditugaskan di Thailand atas persefahaman dua negara bagi menggempur komunis termasuk kem mereka sama ada di kawasan perkampungan atau hutan.

Katanya, pertempuran hampir dua jam antara pasukannya dengan 50 komunis di kebun getah Kampung Ban Na Lee, selatan Thailand pada 1975 antara peristiwa segar dalam ingatan sehingga kini kerana telah mengorbankan rakannya yang juga mata-mata dikenali sebagai Yasin dan Komander Platun Inspektor Yusof.

Damin berkata, beliau dan pasukannya diarahkan membersihkan jalan untuk memastikan laluan konvoi selamat dan tiada musuh bagi tugasan keesokannya yang melibatkan rondaan 20 kekuatan anggota menggunakan dua kenderaan perisai dipanggil ‘pirate’ dan sembilan pacuan empat roda Land Rover.

Gambar kenangan anggota Pasukan Polis Hutan Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, (dua, kiri) bersama rakan-rakannya ketika bertugas di Selatan Thailand. - Foto Bernama
Gambar kenangan anggota Pasukan Polis Hutan Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, (dua, kiri) bersama rakan-rakannya ketika bertugas di Selatan Thailand. - Foto Bernama

"Dalam perjalanan hujan panas turun, saya terus teringat petua orang tua dahulu, apabila hujan panas akan ada orang mati atau peristiwa berdarah berlaku dan semasa platun melalui jalan kampung kira-kira 2.30 petang, tiba-tiba kami diserang ‘hujan peluru’ kerana komunis melakukan serang hendap.

Artikel Berkaitan:

"Yasin terkena tembakan di kepala, seorang lagi rakan nyaris terkena sebelum Inspektor Yusof mara ke depan melindunginya sambil menjerit "jangan encik, jangan encik” namun, komunis dari atas bukit menembak pegawai itu sehingga badannya hancur,” kata Damin ketika ditemui di rumahnya di Pekan Nanas di sini, baru-baru ini.

Menurut Damin, meskipun beliau tidak mengalami sebarang kecederaan dalam serang hendap itu, peristiwa berkenaan turut menyebabkan tujuh anggota PPH cedera parah, manakala 10 komunis dibunuh dan 21 cedera parah.

Dengan nada sebak, Damin berkata, ujian tidak terhenti di situ kerana ketika rakan-rakannya yang cedera sedang mendapat rawatan di sebuah hospital di Bentong, Pahang, beliau menerima maklumat risikan bahawa komunis mahu menyerang hospital dan membunuh anggota PPH, namun dengan pantas kawalan ketat bersenjata dilancarkan tetapi tiada serangan komunis berlaku.

Tidak lama selepas kejadian serang hendap itu, beliau meminta untuk ditukarkan ke cawangan lain memandangkan telah berumah tangga pada 1974 dan tinggal berjauhan dengan isteri Zainab Mohamed, 71, sebelum berpindah ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian pada 1976 dengan melaksanakan tugas-tugas am.

Gambar kenangan anggota Pasukan Polis Hutan Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, (kanan) bersama rakan-rakannya di Kroh. - Foto Bernama
Gambar kenangan anggota Pasukan Polis Hutan Sarjan Mejar (B) Damin Hadis, 77, (kanan) bersama rakan-rakannya di Kroh. - Foto Bernama

Beliau yang telah berkhidmat selama 35 tahun sejak 1965 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga antaranya pernah bertugas di pelbagai cawangan dan Unit Kawalan Kawasan (UKK), selain menjadi penolong Ketua Balai Polis Permas dan bertugas di Cawangan Kebajikan sebelum bersara pada 2000.

Damin yang turut menerima Pingat Ibrahim Sultan Pangkat Ketiga pada 1998 berkata, selain peristiwa serang hendap itu, beliau juga pernah bertugas membuat rondaan keselamatan semasa Rusuhan Anti-Johnson 1966 dan Rusuhan Krisis Mata Wang 1967 sebelum menyertai PPH.

Sebelum mengakhiri perbualan, Damin turut menasihati generasi muda terutama yang bertugas dalam badan beruniform agar sentiasa berwaspada dan jangan sesekali membenarkan ideologi komunis wujud atau tumbuh di negara ini.

"Walaupun keadaan sekarang tenang, tetapi kena berwaspada, kita aman sekarang, tetapi ingatlah untuk menempah keamanan tidak semudah yang kita fikir, senang hendak bercakap tetapi tidak semudah itu. Selain itu, ikut perintah dan jauhkan diri daripada perkara tidak elok yang boleh mencemarkan diri sendiri dan pasukan,” katanya.

Perjalanan kisah Damin telah dibukukan, hasil penulisan anaknya yang merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Dr Zahrul Akmal yang berjudul ‘Menjunjung Kedaulatan Berpasak Keamanan: Biografi SM (B) Hj Damin Bin Hadis’ yang diterbitkan pada 20 Februari 2020. - Bernama