Rumah Rakyat CIMB Islamic ringankan beban waris pesakit

A
A
A

No Image Caption



LANGKAWI – Bagi memenuhi keperluan penginapan kepada golongan sasaran di hospital, CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) telah menjalinkan kerjasama bersama Hospital Sultanah Maliha dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah bagi membantu kumpulan tersebut melalui inisiatif Rumah Rakyat CIMB Islamic.

Projek yang mendapat tajaan korporat daripada CIMB Islamic berjumlah RM520,000 itu, adalah berpandukan teras pengukuhan jalinan keluarga dan komuniti tempatan.

Majlis menandatangani untuk merasmikan penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic bersama rakan strategik, Hospital Sultanah Maliha dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dilangsungkan di Langkawi, Kedah baru-baru ini. Ia disempurnakan bersama Ahmad Shahriman Mohd Shariff, Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Islamic dan Dr. Othman Warijo, Pengarah Kesihatan Negeri Kedah.

Rumah Rakyat CIMB Islamic merupakan satu kemudahan penginapan sementara yang disediakan kepada waris pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Maliha.

Menurut Ahmad Shahriman, program ini bersifat mampan dan mampu membantu ramai golongan sasaran dengan manfaat jangka masa panjang.

No Image Caption



Jelas beliau, inisiatif ini adalah selari dengan Teras Strategik 5, Pelan Sektor Kewangan Bank Negara Malaysia 2022-2026 demi memperkukuh dasar kewangan pengantaraan berasaskan nilai (VBI) bagi mencapai impak positif ke arah matlamat ekonomi dan sosial yang lebih besar.

“Sejajar dengan proposisi jenama baharu CIMB Group, ‘Melangkah Ke Hadapan Bersama,’ kami kekal komited untuk terus menyokong inisiatif untuk memacu ke arah masyarakat yang lebih lestari.

Artikel Berkaitan:


“Ia sekali gus, memupuk semangat perpaduan dan kerjasama dalam usaha sama untuk terus membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Ujar Ahmad Shahriman lagi, melalui Rumah Rakyat CIMB Islamic, ia dapat memberikan manfaat kepada keluarga pesakit yang kurang berkemampuan dan memerlukan penginapan sewaktu mengiringi pesakit disebabkan jarak antara rumah dan hospital yang jauh terutama kepada penduduk Pulau Tuba dan pulau-pulau sekitarnya, serta pelancong yang sedang bercuti di Langkawi yang terkandas kerana terpaksa mendapatkan rawatan kecemasan.



“Rumah Rakyat CIMB Islamic juga turut digunakan sebagai tempat sokongan keluarga di mana keluarga pesakit dapat menemani pesakit yang sedang mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Maliha.

“Kerjasama antara CIMB Islamic dan Hospital Sultanah Maliha dalam menjayakan Rumah Rakyat CIMB Islamic berkonsepkan selesa, selamat dan berkualiti dengan harga yang berpatutan.”

Oleh itu, Ahmad Shahriman berkata, kerjasama ini adalah amat bertepatan dengan hasrat untuk mengurangkan beban golongan yang memerlukan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat.

Dr. Othman Warijo berkata, “Hospital Sultanah Maliha merupakan satu-satunya hospital yang terletak di Langkawi dan ianya menjadi hospital rujukan utama kepada penduduk Langkawi dan pulau-pulau sekeliling, serta pelancong-pelancong untuk mendapatkan rawatan. Oleh itu, kewujudan “Rumah Rakyat CIMB Islamic” mampu membantu golongan tersebut yang terpaksa berulang-alik dengan perjalanan yang agak jauh untuk menemani ahli keluarga yang menerima rawatan di hospital ini.”

“Inisiatif ini adalah amat bertepatan dengan hasrat kami untuk mengurangkan beban golongan yang memerlukan. Saya mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Kedah amat berbesar hati dengan penubuhan Rumah Rakyat CIMB Islamic ini,” ujar beliau.