Kualiti pemain muda negara masih rendah

Wong Choong Hann
Wong Choong Hann
A
A
A

PENGARAH kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann menyifatkan kualiti pemain muda negara masih pada tahap rendah berbanding pemain seusia luar negara.

Mengakui prestasi keseluruhan pemain BAM pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2019 tidak memuaskan, beliau berkata pihak jurulatih serta pemain perlu bekerja keras bagi membaiki kualiti dan prestasi pemain.

“Apa yang saya lihat, pemain negara mempunyai kelemahan dalam membuat keputusan ketika beraksi. Pemain yang handal membuat keputusan secepat kilat semasa membuat pukulan. Pemain kita cepat hilang fokus apabila pencabar mereka mengubah corak permainan secara tiba-tiba.

“Dari perspektif saya, jika pemain kita dapat membaiki dua atau tiga kesilapan semasa kejohanan, keadaan boleh bertambah baik. Kita perlukan pemain pemain berkecekapan lebih tinggi. Jadi, kami membincangkan bagaimana mahu lihat perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat anggota majlis badan induk itu di Axiata Arena, Kuala Lumpur Sports City (KLSC), di sini hari ini.

Choong Hann berkata, mod latihan turut perlu diubah iaitu pemain menjalani latihan tiga sesi sehari berbanding dua sekarang dan pemain muda juga perlu berusaha mengubah corak pemikiran mereka supaya lebih matang.

“Kami (jurulatih) hanya untuk membimbing agar mereka menjadi pemain lebih baik dan sudah tentu ada tempoh masa untuk itu. Kami secara konsisten mendorong mereka agar menguji had mereka,” katanya.

Pada kejohanan Terbuka Malaysia, pemain kendalian BAM seperti Lee Zii Jia dalam acara perseorangan lelaki dan beregu wanita Vivian Hoo-Yap Cheng Wen, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean terkandas seawal pusingan pertama manakala beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Jin Wei (perseorangan wanita) pula sekadar mara hingga ke pusingan kedua.

Sementara itu, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bersetuju pihak jurulatih juga perlu melakukan perubahan dalam latihan masing-masing agar dapat mengubah corak permainan pemain muda supaya lebih kompetitif selain memberi penekanan kepada mentaliti menang dalam kalangan pemain.

Artikel Berkaitan:

“Sama ada pemain yang ada sekarang ini bersedia atau tidak, mereka perlu berubah dan membiasakan diri dengan perubahan corak latihan yang akan dikenakan kepada mereka. Sekiranya tidak mahu perubahan, prestasi mereka hanya pada tahap itu sahaja,” katanya. - Bernama