Hubungan Malaysia-India berlandaskan tamadun, persahabatan

Saifuddin (dua dari kiri) bersama B N Reddy melihat gambar-gambar dipamerkan pada acara peringatan khas India-Malaysia@65 di ibu negara pada Jumaat.
Saifuddin (dua dari kiri) bersama B N Reddy melihat gambar-gambar dipamerkan pada acara peringatan khas India-Malaysia@65 di ibu negara pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Hubungan diplomatik yang terjalin selama 65 tahun antara Malaysia dengan India bukan sekadar bersandarkan kepada hubungan dua hala malah menjangkau ke tahap persahabatan berdasarkan tamadun, kata Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Saifuddin berkata, terdapat kemajuan ketara dalam aspek bilateral Malaysia-India dan hubungan tamadun yang dinikmati kedua-dua negara menjadikan ikatan itu lebih istimewa.

"Hubungan dua hala rasmi yang terjalin melebihi 65 tahun, hubungan antara India dan Malaysia serta rakyat India dan Malaysia bukan sekadar hubungan dua hala, tetapi berasaskan hubungan tamadun," katanya ketika berucap pada acara peringatan khas India-Malaysia@65 di sini malam tadi.

Acara itu anjuran Konsortium Industri India di Malaysia (CIIM) dan Majlis Perniagaan Malaysia India (MIBC) bagi meraikan 65 tahun hubungan diplomatik antara India dan Malaysia.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, B N Reddy dan Pengerusi Pengasas CIIM, Datuk Umang Sharma.

Menteri Luar berkata, hubungan antara India dan Malaysia telah berkembang daripada Perkongsian Strategik pada 2010 kepada Perkongsian Strategik Dipertingkat pada 2015 menyasarkan kerjasama baharu dalam diplomasi kebudayaan, ekonomi digital dan komoditi agro.

"Semasa lawatan saya ke New Delhi pada Jun 2022, saya bertemu (rakan sejawat) Menteri Hal Ehwal Luar India, Dr S Jaishankar di luar mesyuarat khas Menteri Luar ASEAN-India dan membincangkan kemungkinan kerjasama baharu dalam pelbagai bidang termasuk diplomasi kebudayaan serta perdagangan dan pelaburan," katanya.

Beliau berkata, lebih 150 syarikat India telah melabur AS$3 bilion di Malaysia dalam pelbagai sektor antaranya bioteknologi, perkhidmatan kewangan, pembuatan dan industri tekstil.

Artikel Berkaitan:

Saifuddin berkata, memandangkan lokasi strategik dan persekitaran perniagaan yang kondusif, syarikat India digalakkan untuk mengembangkan operasi mereka dengan mengambil peluang daripada Malaysia sebagai hab bagi ASEAN.

Sementara itu, Reddy dalam ucapannya berkata hubungan 65 tahun yang rancak antara India dan Malaysia membanggakan komuniti diaspora India di Malaysia, yang kedua terbesar di dunia yang mengukuhkan lagi ikatan persahabatan kedua-dua negara.

Mengenai sektor pendidikan, diplomat itu berkata, memandangkan kejayaan Kolej Perubatan Melaka-Manipal di Malaysia melahirkan hampir 15,000 doktor perubatan di Malaysia setakat ini, India merancang membuka kampus luar pesisir pertama Institut Teknologi India (IIT) di Malaysia. - Bernama