Salun tawar khidmat seks diserbu

Saravanan (tiga dari kiri) menunjukkan barang yang digunakan untuk aktiviti persundalan.
Saravanan (tiga dari kiri) menunjukkan barang yang digunakan untuk aktiviti persundalan.
A
A
A

GEORGETOWN - Polis Pulau Pinang membongkar aktiviti persundalan yang berselindung di sebalik perniagaan salun rambut dan pusat urut dalam serbuan di Sungai Nibong, di sini pada Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan V Saravanan berkata, serbuan dibuat hasil risikan yang dibuat sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut.

Menurutnya, serbuan jam 6.30 petang itu turut disertai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) dan berjaya menahan 12 individu termasuk seorang pelanggan yang disyaki terlibat dengan aktiviti pelacuran.

“Pemeriksaan mendapati kesemua yang ditahan merupakan warga negara asing dan berusia lingkungan 24 hingga 54 tahun.

“Ada antara mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah selain menyalahgunakan pas lawatan sosial dan terlibat dengan aktiviti persundalan ini," katanya pada sidang akhbar di IPD Timur Laut di sini, pada Khamis.

Saravanan berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas pelbagai barangan barangan yang disyaki digunakan bagi aktiviti persundalan seperti minyak urut, tisu dan kondom.

Ditanya mengenai modus operandi, Saravanan berkata, pelanggan yang datang bagi mendapatkan perkhidmatan salun rambut dan urut akan ditawarkan perkhidmatan seks.

“Premis itu dua tingkat dan aras bawah dijadikan pusat urut manakala salun pula di tingkat atas.

Artikel Berkaitan:

“Mengikut buku catitan yang dirampas, kadar bayaran seks yang dikenakan bermula RM50 hingga RM150 mengikut pakej tertentu," katanya.

Beliau berkata, kesemua tangkapan direman selama tiga hari sehingga 10 September bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/1963.

Sementara itu, Saravanan berkata, sebanyak 13 serbuan Ops Noda dijalankan pihaknya di sekitar daerah Timur Laut sejak 30 Ogos hingga semalam.

“Menerusi serbuan itu, seramai 53 suspek diberkas dan 37 daripadanya merupakan wanita warga asing.