Celcom, Allo tinjau kerjasama dalam perkhidmatan telekomunikasi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

CELCOM Axiata Berhad (Celcom) dan Allo Technology Sdn Bhd (Allo), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Berhad (TNB), memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meninjau kerjasama membabitkan pelaksanaan serta pembangunan perkhidmatan berkaitan telekomunikasi.

Usaha itu termasuk aspek gentian, daya tahan rangkaian, kesalinghubungan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), Internet Pelbagai Benda (IoT) membabitkan jaringan komunikasi antara benda, 5G dan juga penyelesaian pintar.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Celcom berkata, kerjasama itu akan turut mempercepat pembangunan bandar pintar dan mewujudkan masa depan yang lebih cerah bagi Malaysia melalui kesalinghubungan digital.

"Kolaborasi tersebut akan membolehkan pelancaran infrastruktur fiber yang lebih pantas daripada Allo, pakar bagi kesalinghubungan fiber optik terkemuka dan pada masa yang sama memudahkan penggunaan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan perindustrian yang disasarkan, stesen pangkalan rangkaian dan fiber di tapak terpilih Celcom,” katanya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Baharin Din berkata, dengan memanfaatkan infrastruktur gentian optik milik TNB sepanjang lebih 25,000 kilometer, pihak terbabit akan mempunyai liputan di seluruh Semenanjung bagi menyokong pelaksanaan kesalinghubungan jalur lebar secara pantas cekap kos.

"Kami percaya bahawa sektor ekonomi digital adalah kritikal untuk masa depan kemajuan ekonomi Malaysia. Peranan kami sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi negara turut berkait rapat dengan pelaksanaan rangkaian kesalinghubungan yang moden, berdaya harap dan meluas seperti digariskan dalam MoU antara Allo dan Celcom,” katanya.

Beliau berkata, kesalinghubungan kukuh yang ditawarkan oleh Allo dan Celcom mampu memacu pembentukan nilai yang menyeluruh ke segenap lapisan industri, pembentukan bandar pintar dan seterusnya keupayaan untuk mengubah landskap sosioekonomi negara.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Idham Nawawi berkata, kerjasama strategik itu akan memanfaatkan kekuatan kedua-dua organisasi ke arah memacu pendigitalan kediaman dan perusahaan bagi rakyat Malaysia selain meningkatkan kecekapan operasi rangkaian yang ketara.

Artikel Berkaitan:

"Peluang bagi menyediakan kesalinghubungan fiber berkualiti tinggi dan mampu milik kepada kediaman di seluruh negara adalah meluas. Oleh itu, melalui perkongsian ini, kedua-dua pihak boleh memainkan peranan dan memberi impak besar ke arah pendigitalan masyarakat Malaysia,” katanya.

Kerjasama tersebut akan membolehkan usaha Allo dan Celcom untuk memacu kesalinghubungan dan pendigitalan merentas industri dengan penyelesaian teknologi dan perkhidmatan seperti Keselamatan Siber ICT, pengkomputeran awan, pusat data dan perkhidmatan terurus serta penyelesaian bagi bandar pintar yang menggunakan perkhidmatan IoT. - Bernama