Lawatan kerja TPM Singapura perkukuh kerjasama dua hala

Tengku Zafrul
Tengku Zafrul
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lawatan kerja Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia bermula hari ini, menjadi peluang untuk kedua-dua negara saling bertukar pendapat dalam pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan lawatan pada 4 hingga 7 September 2022, akan turut memperkukuh hubungan baik dan kerjasama dalam pelbagai bidang di antara kedua-dua negara.

"Selain jiran terdekat, Singapura juga merupakan rakan dagangan kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan sebanyak RM267.11 bilion (AS$64.43 bilion) pada 2021 iaitu peningkatan 25.2 peratus berbanding nilai pada 2020,” katanya.

Lawrence dijadual menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Gabenor Bank Negara, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus selain menyertai sesi dialog tertutup bersama Kuala Lumpur Business Club. - Bernama

Artikel Berkaitan: