[VIDEO] Tak perlu mansuh tapi kurangkan hukuman sebat

Dr Noor Aishah
Dr Noor Aishah
A
A
A

SHAH ALAM – Hukuman sebat sebagai salah satu hukuman kepada pesalah jenayah di negara ini tidak wajar dimansuhkan, sebaliknya hanya perlu dikurangkan bergantung kepada kesalahan yang dilakukan.

Pensyarah Kanan Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Fakulti Pendidikan Universiti Malaya, Dr Noor Aishah Rosli berkata, langkah itu dilihat perlu bagi mengelak pesalah mengalami Post-Traumatic Stress Disorder (PTSD) yang teruk dan sukar disembuhkan.

Menurut beliau, kesan di bawah emosi adalah trauma dan ia mengambil masa yang lama untuk seseorang itu pulih.

“PTSD meliputi tiga dimensi, kesan kognitif cara berfikir, emosi dan tingkah laku yang saling berkait.

“Kesan kognitif dia tidak akan lupa mimpi ngeri itu sebagai contoh jika bekas pesalah atau banduan itu melihat rotan atau kayu panjang dia akan imbas semula kesakitan dirinya disebat dan ia memberi kesan tidak baik mental dan emosinya,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu Bersama Finaz Yunus: Mansuh Hukuman Sebat, Penjenayah Hela Nafas Lega yang disiarkan di platform Sinar Harian pada Jumaat.

Turut menjadi panelis pada program itu Managing Partner, Tetuan Fahri, Azzat & Co, Fahri Azzat dan bekas pesalah, Mohd Nuri Selajudin.

Noor Aishah menjelaskan, hukuman sebat lebih banyak membawa kesan negatif, namun tidak dinafikan ia juga akan membawa keinsafan kepada pesalah.

“Kesan trauma yang teruk akan mempengaruhi pesalah sampai mereka tua dan mereka tidak mampu jalani kehidupan normal seperti orang lain.

Artikel Berkaitan:

“Hukuman penjara dalam tempoh yang lama juga sudah cukup beri tekanan ditambah dengan hukuman sebat, namun tidak dinafikan pesalah ada yang memilih hukuman sebat daripada terkurung dalam penjara tetapi saya tak rasa hukuman itu boleh ditukar ganti kerana penjara dan sebat adalah hukuman yang berbeza,” kata Noor Aishah.

Beliau dalam pada itu turut menyarankan agar silibus pencegahan jenayah diperkenalkan di sekolah bagi memastikan agar golongan itu tidak terjebak dengan budaya yang akhirnya akan menyebabkan mereka menerima hukuman.

“Lebih baik cegah sebelum mereka terjebak dengan jenayah kerana kita mahu mendidik sejak usia kanak-kanak agar mereka menjauhi perkara negatif yang boleh merosakkan diri,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai cadangan untuk menggantikan hukuman sebat kepada program khidmat masyarakat, Noor Aishah berkata, hukuman itu tidak cukup kuat untuk takutkan orang ramai daripada terjebak dengan jenayah.