'Bayar gaji' - TMJ

Komen Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram Sarawak United. - Foto Instagram Sarawak United
Komen Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Instagram Sarawak United. - Foto Instagram Sarawak United
A
A
A

KELAB Liga Malaysia (Liga-M), Sarawak United diingatkan untuk segera melunaskan tunggakan gaji yang membelenggu pasukan Liga Super tersebut ketika ini.

Teguran daripada Penaung Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu hadir menerusi di ruangan komen Instagram Sarawak United.

“Bayar gaji,” tulis Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT) seolah memberi ingatan kepada kelab terbabit untuk segera menyelesaikan isu tunggakan tersebut.

Teguran itu kemudiannya mendapat respon Sarawak United yang menjelaskan pengurusan pasukan sedang berusaha menyelesaikan masalah tersebut.

“Memang tengah diusahakan Tuanku,” balas Sarawak United terhadap komen Tunku Ismail itu.

Untuk rekod, PFAM sebelum ini mendedahkan persatuan itu menerima laporan berkenaan isu tunggakan gaji yang berlarutan hampir empat bulan membabitkan beberapa pemain skuad kendalian S Balachandran itu.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kemudian mengambil langkah proaktif apabila menyalurkan sejumlah RM100,000 kepada kelab Kepulauan Borneo itu dalam usaha meringankan beban para pemain.

Dana RM100,000 itu merupakan pemotongan daripada dana hak penyiaran Sarawak United, yang disalurkan kepada PFAM sebelum diagihkan kepada yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

Sarawak United juga diberikan tempoh 14 hari bermula 26 Ogos lalu untuk menyelesaikan tunggakan itu bagi mengelak disingkirkan daripada saingan Piala Malaysia 2022.