Tragedi berkelah, mayat lelaki ditemui

Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang berjaya ditemui di Taiping. - Foto: Ihsan Bomba
Pasukan bomba mengangkat mayat mangsa yang berjaya ditemui di Taiping. - Foto: Ihsan Bomba
A
A
A

TAIPING - [DIKEMAS KINI] Perkelahan lima sahabat bertukar tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemukan lemas di kawasan air terjun Burmess Pool, Bukit Larut di sini pada Ahad.

Mayat S Jeremy Anthony, 28, yang berasal dari Butterworth, Pulau Pinang berjaya ditemukan pasukan penyelamat selepas 17 jam dilaporkan hilang dibawa arus sungai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, siasatan mendapati mereka datang ke kawasan air terjun terbabit untuk beriadah.

"Kelima-lima mereka bersiap-siap untuk pulang setelah cuaca bertukar hujan. Mangsa kemudiannya dilihat ke seberang sungai untuk mengambil beg galasnya.

"Ketika berpatah balik, mangsa tergelincir dan waktu yang sama berlaku kepala air. Mangsa telah dibawa arus yang laju serta hanyut," katanya di sini pada Isnin.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan setelah menerima maklumat pada jam 5.30 petang.

"Operasi yang ditangguhkan sementara pada jam 8 malam Ahad diteruskan hari ini (Isnin) melibatkan pasukan polis serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak.

"Mangsa berjaya ditemui pada jarak satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat. Pemeriksaan fizikal mendapati terdapat kecederaan pada hidung namun, tiada tanda unsur-unsur jenayah ditemui," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Taiping untuk dibedah siasat.