Membugar semula semangat merdeka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

Pejam celik pejam celik, Malaysia bakal menyambut hari kemerdekaan yang ke-65 tahun tidak lama lagi, namun penulis hairan mengapa semangat untuk menyambut hari yang cukup bersejarah itu seakan-akan semakin pudar ditelan masa.

Mengimbau masa lalu, hari Merdeka adalah satu hari yang dinanti-nantikan terutamanya pada zaman kanak-kanak.

Sambutan hari kebangsaan di sekolah amat meriah yang mana aktiviti dan pertandingan seperti sajak, mewarna dan sketsa di antara pelajar pasti akan dimeriahkan oleh pihak sekolah.

Guru-guru pula akan memakai pakaian yang bertemakan warna Jalur Gemilang dan semangat untuk menyanyikan lagu Negaraku dan 'Tanggal 31' dendangan Allahyarham Sudirman semasa perhimpunan lebih membara dari hari biasa.

Tidak lupa juga, penulis sanggup pergi ke satu demi satu kedai runcit untuk mencari bendera Malaysia yang mempunyai gula-gula di dalamnya untuk dibawa ke sekolah.

Sambutan bersama keluarga turut tidak dilupakan apabila kami sering membeli kek untuk menyambut hari tersebut serta wajib memacakkan atau menggantung bendera Malaysia di luar rumah.

Di sebelah malam, kami akan meluangkan masa bersama menonton filem-filem yang berkisarkan pahlawan menentang penjajah atau pejuang serta pemimpin yang bersusah payah mendapatkan kemerdekaan negara.

Begitulah gambaran bagaimana meriahnya hari kebangsaan disambut suatu ketika dahulu.

Artikel Berkaitan:

Namun kini, penulis tertanya-tanya, pada zaman yang serba canggih ini, mengapa semangat kemerdekaan itu seakan-akan tidak ada pada generasi hari ini.

Bagaimana kita menunjukkan semangat kemerdekaan? Adakah hanya dengan membuka mulut dan menyanyi lagu ‘Tanggal 31’? Atau Merdeka hanya hari simbolik bercuti dan duduk di rumah?

Ramai yang mempertikaikan di media sosial dengan mengatakan apa guna kita bersemangat Merdeka sedangkan negara menghadapi hutang berbilion ringgit dan banyak kes korupsi dalam negara.

Adakah ini mentaliti yang perlu kita kekalkan? Adakah jiwa kemerdekaan perlu dibeli? Mana Malaysia baharu yang kita perlu perjuangkan sedangkan detik bersejarah 31 Ogos 1957 itu tidak lagi menyuntik perasaan patriotik dan bangga dalam diri.

Sepatutnya pada zaman teknologi kini, lebih banyak peluang kita sebagai anak muda untuk menunjukkan semangat cinta akan negara seperti mengambil gambar bendera, menyokong mural lakaran patriotik, memasang bendera di kereta atau sekitar rumah dan pergi ke tempat bersejarah seperti Stadium Merdeka dan Tugu Negara.

Namun, pujian juga harus diberikan kepada rakyat Malaysia yang mempunyai semangat patriotik yang kuat. Contohnya, filem berlatarbelakangkan sejarah Mat Kilau arahan pengarah terkenal, Syamsul Yusof berjaya pecah panggung dengan kutipan mencecah sekitar RM90 juta.

Ini membuktikan masyarakat kita masih meminati filem tentang sejarah dan pahlawan terdahulu yang bangkit mempertahankan negara.

Oleh itu semangat kemerdekaan perlu dijiwai dan bukan sekadar simbolik. Jiwa patriotisme amat penting dalam diri kita supaya kita tahu erti kemerdekaan yang sebenar. Semangat ini yang kita akan bawa dan ceritakan kepada anak cucu dan generasi akan datang.

Pernahkah kita terfikir apa yang akan terjadi pada negara jika nilai patriotisme tidak diterap dalam diri masing-masing? Tidak mustahil, cerminan apa yang terjadi pada konflik berdarah oleh kumpulan 'Baju Merah' melawan 'Baju Kuning' di Thailand boleh berlaku.

Bagaimana pula hendak memupuk semangat patriotisme? Masyarakat perlu bersatu-padu terlebih dahulu dan jangan jadikan politik alasan tidak mahu menyambut hari Merdeka atau berpecah-belah.

Seluruh rakyat Malaysia merupakan tunggak utama dan memainkan peranan yang penting bagi melahirkan generasi yang berhemah tinggi, berpendidikan dan cintakan negara sekali gus memastikan Malaysia agar terus Merdeka walau 100 tahun akan datang dan bebas dari ‘dijajah’.

Ingatlah dalam kesenangan kita berpeluang menyambut Merdeka hari ini, ramai pejuang negara yang gugur di medan perang dan bergadai nyawa kerana ingin memperjuangkan tanah air tercinta.

Jangan biarkan permainan politik melunturkan semangat kemerdekaan yang sepatutnya kita sambut dan abadikan setiap tahun. Berbanggalah menjadi rakyat Malaysia!

*Nurul Nabila Ahmad Halimy ialah wartawan Sinar Premium