Remaja ditemui rentung dalam tandas awam

Anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat seorang remaja ditemui dalam sebuah tandas awam yang terbakar di Puncak Alam, Sungai Buloh pada Ahad.
Anggota bomba dan penyelamat mengusung mayat seorang remaja ditemui dalam sebuah tandas awam yang terbakar di Puncak Alam, Sungai Buloh pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Tindakan dua remaja bermain api mengundang padah apabila seorang rakan mereka maut selepas terperangkap dalam kebakaran di tandas awam di Bandar Puncak Alam, di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada jam 2.38 petang.

"Kebakaran bermula apabila dua rakan mangsa berusia 15 dan 16 tahun bermain api di hadapan pintu tandas berkenaan sebelum api menjadi besar dan tidak terkawal,” katanya.

Shafa’aton berkata, dua rakan mangsa cuba membantu memadamkan kebakaran, namun api semakin besar dan tidak berjaya dipadamkan sehingga pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

"Pemeriksaan di lokasi terbabit mendapati tiada sebarang unsur jenayah. Tandas awam berkenaan sudah lama tidak digunakan dan dalam keadaan terbiar.

"Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kes tersebut pada jam 2.35 petang.

"Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya bersama Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama pergi ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Norazam berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di lokasi mendapati kebakaran melibatkan tandas orang awam di tepi padang.

"Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah ditemui meninggal dunia dalam kebakaran tersebut.

"Maklumat daripada saksi dan dua rakan mangsa mendakwa mangsa sedang tidur di atas sofa di hadapan pintu tandas," katanya.

Beliau berkata, rakan mangsa telah menyalakan api di bawah sofa dengan niat untuk bergurau.

"Setelah asap tebal dan api makin besar dua rakan mangsa lari ke luar tandas, manakala mangsa yang tersedar dari tidur melarikan diri ke dalam tandas.

"Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan mangsa meninggal dunia, mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.