Beri alasan main ‘game’ ketika ditangkap khalwat

A
A
A

BESUT - Dua wanita memberi alasan hanya menumpang sekejap di bilik rakan lelaki untuk bermain ‘game’ bagi mengelak dicekup pegawai penguatkuasa syariah dalam Ops Perhentian di sebuah hotel di Pulau Perhentian, di sini malam Jumaat.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Md Adnan Abdullah berkata, dalam serbuan pada jam 1.50 pagi itu, dua wanita berkenaan berada dalam sebuah bilik bersama tiga lelaki.

“Berdasarkan siasatan awal, mereka mendakwa datang bercuti ke pulau dengan menyewa dua bilik berasingan namun ketika serbuan dilakukan, dua wanita itu berada dalam bilik lelaki bukan mahram dengan alasan bermain ‘game’,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Menurut Md Adnan, dua wanita dan tiga lelaki itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 iaitu kerana disyaki berkhalwat.

Sementara itu beliau berkata, dalam operasi sama pihaknya turut menahan lima lelaki beragama Islam selepas dikesan sedang berpesta meminum arak di tepi pantai pulau peranginan itu kira-kira jam 10 malam.

Lima lelaki ditahan kerana minum arak dalam operasi di Pulau Perhentian, Besut malam Jumaat. Foto Ihsan JHEAT
Lima lelaki ditahan kerana minum arak dalam operasi di Pulau Perhentian, Besut malam Jumaat. Foto Ihsan JHEAT

Katanya, beberapa botol arak turut dirampas dan semua mereka ditahan di bawah Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana minuman memabukkan.

“Semua yang ditahan berusia dalam lingkungan antara 20 hingga 30 tahun dan mereka merupakan pelancong yang datang dari luar Terengganu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas Md Adnan, operasi tersebut disertai 40 pegawai dan penguatkuasa syariah JHEAT dengan tumpuan pemeriksaan dilakukan di sekitar rumah penginapan serta resort di Pulau Perhentian.

“Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membasmi kegiatan minum arak dalam kalangan umat Islam serta perlakuan jenayah syariah lain termasuk khalwat.

“Jadi kita harap orang ramai menjauhi perkara bertentangan dengan hukum syarak dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh kerajaan,” katanya.