California lulus peraturan kenderaan baharu elektrik

CARB meluluskan peraturan yang mewajibkan 35 peratus daripada kenderaan baharu yang dijual menjelang 2026 mestilah kenderaan elektrik atau hidrogen. - Gambar hiasan 123RF
CARB meluluskan peraturan yang mewajibkan 35 peratus daripada kenderaan baharu yang dijual menjelang 2026 mestilah kenderaan elektrik atau hidrogen. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

ANKARA - Lembaga Sumber Udara California (CARB), pada Khamis meluluskan peraturan yang mewajibkan 35 peratus daripada kenderaan baharu yang dijual menjelang 2026 mestilah kenderaan elektrik atau hidrogen, dengan angka itu mencapai 100 peratus menjelang 2035.

Peraturan itu akan menamatkan penjualan kereta berasaskan petrol atau diesel di California dalam tempoh 13 tahun, lapor Agensi Anadolu (AA), memetik akhbar Sacramento Bee.

"Ini adalah satu peralihan besar," kata Daniel Sperling, ahli lembaga CARB.

Negeri-negeri lain yang mempunyai agenda tenaga hijau yang mantap, mungkin akan mencontohi California, katanya.

Pelan CARB bakal meningkatkan jumlah kereta, trak dan kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu yang menggunakan tenaga elektrik atau hidrogen menjelang 2026 dan menyumbang 51 peratus daripada jumlah jualan kenderaan baharu pada 2028 dan 68 peratus pada 2030, sehingga 100 peratus pada 2035.

Walaupun peraturan baharu itu mendapat sambutan menggalakkan, industri automotif dan beberapa kumpulan perniagaan menyuarakan kebimbangan tentang pelaksanaannya yang bakal melibatkan kos yang tinggi kepada pengeluar dan pembeli.

"Pembuat kenderaan mungkin mengalami kesukaran untuk mencapai sasaran yang ditetapkan, memandangkan terdapat pelbagai unsur di luar kawalan industri," kata Laurie Holmes, pengurus kanan bagi hal ehwal kerajaan dan pengawalseliaan pembuat kereta Kia.

"Ini termasuk kos bahan yang jauh lebih tinggi, tekanan terhadap rantaian bekalan dan sumber, insentif pengguna yang tidak konsisten dan infrastruktur pengecasan tidak mencukupi."

Artikel Berkaitan:

Harga pasaran untuk kereta elektrik secara purata melebihi US$60,000 - jauh melebihi harga kenderaan yang menggunakan petrol atau diesel. - Bernama