Perintah berkurung perairan ESSZone dilanjut hingga 7 September

Perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot - Gambar hiasan
Perintah berkurung itu juga akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot - Gambar hiasan
A
A
A

LAHAD DATU - Perintah berkurung membabitkan perairan tujuh daerah di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 7 September ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu melibatkan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

"Perintah berkurung diteruskan bagi memastikan kawasan perairan terlibat tidak diceroboh pengganas, sekali gus mengancam keselamatan penduduk termasuk penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan, serta pelancong asing melawat pulau peranginan," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan penculikan untuk mendapatkan wang tebusan dan kumpulan Abu Sayyaf masih cuba menceroboh perairan terlibat untuk melakukan penculikan serta lain-lain jenayah rentas sempadan.

Idris berkata, perintah berkurung itu juga, akan memudahkan penguatkuasaan serta pemantauan terhadap pergerakan bot dan menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada penduduk maritim dengan kehadiran pasukan keselamatan.

Dalam pada itu, katanya, semua Ketua Polis Daerah di ESSZone diberi kuasa mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau keperluan mendesak lain untuk melalui kawasan perintah berkurung itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: