Kedah utamakan rumah mampu milik untuk B40, M40

Muhammad Sanusi (tengah) melakukan gimik pecah tanah Projek Perbandaran Darulaman Lagenda di Bandar Amanjaya pada Ahad.
Muhammad Sanusi (tengah) melakukan gimik pecah tanah Projek Perbandaran Darulaman Lagenda di Bandar Amanjaya pada Ahad.
A
A
A

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Kerajaan negeri memberi keutamaan dalam penyediaan perumahan mampu milik khususnya kepada golongan B40 dan M40 yang belum memiliki rumah.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aspek perumahan rakyat dijadikan keutamaan dengan pelaksanaan pembangunan dan perancangan rapi serta komprehensif bagi memenuhi keperluan golongan berkenaan.

Menurutnya, ia seiring hasrat memastikan pembangunan sektor perumahan yang berdaya huni serta teratur dapat dinikmati oleh mereka yang kurang berkemampuan bersesuaian dengan slogan ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’.

"Keprihatinan kerajaan bukan hanya cakap-cakap kosong tetapi ianya akan direalisasikan melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di mana kerajaan merangka perancangan satu juta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun bermula 2018 hingga 2028 yang akan dilaksanakan oleh agensi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri serta pihak swasta bagi manfaat golongan B40," katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir ke Majlis Pecah Tanah Projek Perbandaran Darulaman Lagenda di Bandar Amanjaya di sini pada Ahad.

Hadir sama, Pengerusi Lagenda Properties Berhad, Laksamana (B) Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin dan Pengerusi Eksekutif Bina Darulaman Berhad (BDB), Sr Che Had Dhali.

Jelas Muhammad Sanusi, berdasarkan statistik jumlah rumah di Kedah melebihi jumlah ketua isi rumah bagaimanapun, terdapat sebahagian besar penduduk yang belum memiliki walaupun sebuah rumah.

"Ini memberi maksud bahawa ada pihak yang berpendapatan lebih baik, memiliki dua atau tiga rumah, dijadikan sebagai pelaburan tetapi ada keluarga yang tidak ada rumah langsung," katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, projek Perbandaran Darulaman Lagenda membabitkan 2,848 unit dengan kos serendah RM198,000 diharap memberi peluang golongan B40 dan M40 memiliki rumah mampu milik.

Projek di bandar Sungai Petani itu oleh Bina Darulaman Berhad (BDB) Lagenda Sdn Bhd iaitu syarikat usaha sama antara BDB dan Lagenda Properties Berhad diyakini berpatutan mengambil kira kos pembinaan rumah yang kini semakin meningkat.

Fasa satu pembinaan dijangka siap dalam tempoh dua tahun membabitkan 282 unit rumah teres satu tingkat di kawasan perbandaran tersebut yang terletak berdekatan Ambangan Heights, Sungai Petani.