Johor sedia bantu mangsa banjir diami PPR

Khairin Nisa (tengah) dan Mohd Fared menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Bukit Mutiara, Johor Bahru pada Ahad.
Khairin Nisa (tengah) dan Mohd Fared menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS SK Bukit Mutiara, Johor Bahru pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan membantu beberapa keluarga dari empat buah kampung di Skudai dan Tebrau di sini yang menjadi mangsa banjir kilat pada Sabtu untuk menduduki Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Khairin Nisa Ismail berkata, keutamaan akan diberikan kepada mangsa banjir yang menyewa bilik dan tidak mampu menyewa rumah.

"Kita dapati ada mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mutiara dan Kampung Melayu Batu 10, Skudai di sini hanya mampu sewa bilik dan bukan sebuah rumah.

"Kita akan mencari rumah PPR dan pindah mereka segera... ada mereka yang perlukan rumah ini kerana menyewa dan dalam keadaan yang tidak sempurna (akibat banjir).

“Mereka akan duduk sementara dalam satu atau dua bulan, selepas itu kita akan uruskan untuk sewa beli. PPR ini kena lihat kelayakan, jadi sesiapa yang layak untuk memohon saya yakin kerajaan negeri akan meneliti perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita di PPS SK Bukit Mutiara pada Ahad.

Setakat jam 12 tengah hari Ahad, seramai 76 mangsa banjir melibatkan 25 keluarga masih ditempatkan di dua PPS itu melibatkan Kampung Laut Batu 10 di Skudai dan Kampung Pasir, Kampung Kangar serta Kampung Kenangan di Tebrau.

Khairin Nisa berkata, kerajaan negeri akan perhalusi dan kenal pasti mereka sebelum memanjangkan masalah itu kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Negeri Islam, Mohd Fared Mohd Khaled berkata, Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM7,200 bagi memberikan bantuan awal kepada mangsa banjir dengan setiap keluarga diberi RM300.

Beliau berkata, Onn Hafiz juga akan mengumumkan beberapa bantuan daripada kerajaan negeri.