Lima lelaki ditahan disyaki terlibat kes dadah

Polis rampas lima plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat anggaran 2.25 kilogram.
Polis rampas lima plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat anggaran 2.25 kilogram.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Polis menahan lima lelaki bersama rampasan dadah, wang tunai, barang kemas dan kereta bernilai lebih RM100,000 di sini, pada Isnin lalu.

Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, penahanan lima lelaki berusia 23 hingga 42 tahun itu bermula dengan serbuan pertama pada jam 4 petang di tempat letak kereta Taman Sejati Indah membabitkan seorang suspek.

Menurutnya, hasil serbuan, polis menemui lima plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin seberat anggaran 2.25 kilogram.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM22,500," katanya dalam kenyataan, pada Ahad.

Menurut Wan Hassan, susulan itu, empat lagi lelaki ditahan di sekitar Sungai Petani bermula jam 4.55 hingga 10.35 malam hari yang sama.

Beliau berkata, polis turut merampas wang tunai RM500, barang kemas bernilai RM27,608 dan kereta jenis Honda Civic bernilai anggaran RM53,000 dengan keseluruhan rampasan dadah dan barangan sitaan mencecah RM103,608.

Katanya, hasil saringan air kencing mendapati dua daripada lima suspek positif dadah jenis methamphetamine dan kesemua mereka direman tujuh hari bermula 16 Ogos hingga 22 Ogos 2022 bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.