Arsenal rakam kemenangan sempurna

Arteta menanam tekad menebus kekecewaan untuk menjulang Arsenal pada musim ini. - Foto Agensi
Arteta menanam tekad menebus kekecewaan untuk menjulang Arsenal pada musim ini. - Foto Agensi
A
A
A

PENGURUSArsenal, Mikel Arteta boleh mengukir senyum dengan rentak cemerlang anak-anak buahnya yang merakam kemenangan ketiga selepas membenam Bournemount 3-0.

Kemenangan itu mendorong Arteta membulatkan tekad menebus kekecewaan musim lalu untuk melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan sembilan mata penuh.

Kapten baru dilantik, Martin Odegaard 'garang' di depan gawang apabila meledak dua kali dalam tempoh 11 minit dan rembatan William Saliba di babak kedua meneruskan permulaan sempurna The Gunners musim ini.

"Dalam kehidupan, pengalaman sukar membuatkan anda lebih kuat dan belajar lebih banyak berbanding saat gembira.

"Saat itu amat menyakitkan dan kami tidak mahu mengharungi sekali lagi," ujar Arteta.

Selepas tiga perlawanan musim lalu, Arsenal belum mengutip sebarang mata dan mengharungi permulaan paling buruk dalam tempoh 67 tahun.

Bagaimanapun, lima kekalahan dalam 10 perlawanan terakhir yang lebih mengecewakan mereka apabila tiket ke Liga Juara-Juara Eropah dirampas seteru London, Tottenham pada hari terakhir.

Ketibaan Gabriel Jesus dan Oleksandr Zinchenko dari Manchester City setakat ini membantu The Gunners melonjak ke tahap baharu.

Pemain pertahanan, William Saliba semakin serasi di EPL selepas menghabiskan tiga musim sebagai pemain pinjaman di Perancis.

Jesus sekali lagi menjadi nadi serangan Arsenal, walaupun bekas penyerang City itu gagal menambah koleksi dua golnya untuk kelab musim ini.