Tiada denda terhadap premis tidak pasang Jalur Gemilang di Kedah

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin (dua, kiri) cuba menunggang motosikal sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Pokok Sena di Desa Keda Kampung Bukit, pada Sabtu.
Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin (dua, kiri) cuba menunggang motosikal sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Pokok Sena di Desa Keda Kampung Bukit, pada Sabtu.
A
A
A

POKOK SENA – Tiada denda dikenakan ke atas premis yang tidak mengibarkan bendera Jalur Gemilang di Kedah sempena Hari Kebangsaan ke-65.

Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia Kedah, Datuk Wan Romani Wan Salin berkata, sebaliknya, pendekatan mendidik dan galakan digunakan supaya rakyat mengibarkan bendera di premis masing-masing.

“Kita tidak mahu lakukan paksaan sebaliknya secara sukarela. Jikalau kita sayangkan negara, letakkan tanda kemerdekaan (kibar Jalur Gemilang).

“Untuk capai kemerdekaan bukanlah perkara senang, sebaliknya ratusan ulama dan rakyat dahulu berusaha sedaya upaya menghalau penjajah, “ katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Daerah Pokok Sena di Desa Keda Kampung Bukit, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Belia Daerah Pokok Sena, Muhammad Nizam Abdul Hamid.

Sehubungan itu, beliau menyarankan golongan belia mempamerkan semangat patriotisme dan cintakan tanah air dengan meraikan kemerdekaan negara melalui kibaran Jalur Gemilang.

“Kita hendak harap kepada siapa lagi sekiranya bukan golongan belia. Jadi, saya ucap terima kasih dan tahniah kepada belia Pokok Sena dalam usaha memberi kesedaran kepada rakyat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Wan Romani berkata, kerajaan negeri akan mengedarkan Jalur Gemilang ke seluruh daerah di Kedah sempena Bulan Kebangsaan dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kedah 2022.

“Kita galakkan semua premis kerajaan, swasta dan kedai-kedai untuk memasang bendera bagi menunjukkan rasa cinta kepada negara,” katanya.

Sebelum itu, Wan Romani menyampaikan bantuan kepada penduduk Desa Kampung Bukit dan melakukan ‘walkabout’ ke sekitar tapak reruai Hari Belia Negara Pokok Sena.

Menurutnya, sambutan Hari Belia Peringkat Pokok Sena dilaksanakan di kawasan luar bandar bagi memenuhi permintaan daripada golongan belia.