Pelajar universiti maut nahas dua kereta

Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. (Gambar kecil: Omar Bakhtiar) - Foto Bomba Perak
Anggota bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit. (Gambar kecil: Omar Bakhtiar) - Foto Bomba Perak
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pelajar universiti maut selepas kenderaan dinaiki bersama tiga rakan lain bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 46, Jalan Ipoh-Taiping dekat Kota Lama Kiri di sini malam Sabtu.

Dalam kejadian sekitar jam 11.50 malam itu, Muhammad Ali Ihsan Dzulkeflee, 22, yang duduk di bahagian penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

Nahas turut mengakibatkan tiga rakannya yang lain termasuk pemandu masing-masing berusia 22, 23, dan 26 tahun mengalami patah kaki dan tangan, lebam serta luka mata, mulut dan muka.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kesemua mangsa yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil itu merupakan pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan sedang menjalani praktikal di lokasi berbeza di Kuala Kangsar.

Menurutnya, ketika kejadian, keempat-empat mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Kangsar menghala ke Sungai Siput.

Bagaimanapun ketika tiba di lokasi, datang sebuah kereta jenis Toyota Vios dari arah hadapan dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan.

"Kereta dipandu lelaki berusia 41 tahun itu melanggar tiang di bahu kiri jalan sebelum berpusing dan masuk ke tengah jalan.

"Kereta dinaiki mangsa tidak sempat mengelak lalu merempuh kenderaan tersebut mengakibatkan ada mangsa yang tersepit," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Keadaan kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat lelaki yang mengorbankan seorang daripada mereka dalam nahas dekat Kuala Kangsar, malam Sabtu. - Foto Bomba Perak
Keadaan kereta jenis Perodua Kancil dinaiki empat lelaki yang mengorbankan seorang daripada mereka dalam nahas dekat Kuala Kangsar, malam Sabtu. - Foto Bomba Perak

Beliau berkata, akibat kemalangan itu, mangsa yang duduk di bahagian hadapan kenderaan mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, tiga rakan mangsa dan pemandu Vios yang mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan.

"Waris mangsa telah dimaklumkan, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan, tiga mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar yang tiba di lokasi turut memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum menyerahkan kepada ambulans dan polis.

"Operasi tamat pada jam 12.25 tengah malam," katanya.