UiTM juara bola sepak SUKIPT 2022

Anak buah Mohd Yazli meraikan kejayaan menjuarai acara bola sepak SUKIPT 2022 selepas menewaskan UPSI dalam perlawanan akhir di Stadium UPSI pada Sabtu.
Anak buah Mohd Yazli meraikan kejayaan menjuarai acara bola sepak SUKIPT 2022 selepas menewaskan UPSI dalam perlawanan akhir di Stadium UPSI pada Sabtu.
A
A
A

UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) membuktikan kejaguhan di arena bola sepak temasya Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 apabila menewaskan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2-0 dalam perlawanan akhir pada Sabtu.

Pada awal perlawanan di Stadium UPSI, skuad kendalian Mohd Yazli Yahaya, bergelut untuk menyesuaikan diri dengan keadaan padang becak akibat hujan lebat yang memberi kesan momentum pasukan tersebut.

Bagaimanapun, UiTM berjaya memecah kebuntuan menerusi rembatan kapten pasukan, Mohamad Azeddy Misra yang menewaskan penjaga gol tuan rumah, Ahmad Najmuddin Ahamd Shafri pada minit ke-36.

UPSI kembali memperkemaskan permainan tampil lebih agresif dalam misi mencari gol penyamaan dengan peluang terbaik hadir di minit ke-44, namun hantaran Mohd Alief Najmi Mohd Radzi gagal diterjemahkan para pemain tuan rumah.

Memasuki babak kedua, UPSI menggandakan serangan bagi memburu gol penyamaan, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan The Lion Roars.

Muhammad Faris Hafiz Azhar muncul wira UiTM apabila merobek gawang UPSI dengan gol pada minit ke-86, sekali gus mengakhiri sisi kebangkitan tuan rumah.

“Pada malam ini, kami tidak memandang mudah cabaran UPSI memandangkan mereka sebelum ini memberi tentangan sengit pada peringkat kumpulan. Malah kami juga kehilangan beberapa tonggak utama disebabkan mewakili UITM FC dalam aksi Liga Premier.

“Walaupun sedikit gugup disebabkan sorakan para penyokong tuan rumah dan permukaan padang yang kurang baik selepas hujan, namun kami berjaya mengatasinya.

“Terima kasih kepada jurulatih dan pihak pengurusan kerana menjadi tulang belakang kejayaan kami malam ini. Tidak lupa juga pemain ke-12 yang sanggup datang ke Tanjung Malim demi memberi sokongan kepada kami,” kata Mohamad Azeddy.

Ini merupakan kemenangan kali kedua berturut-turut UiTM di temasya SUKIPT sejak sukan tersebut dipertandingkan pada 2018.