Penghormatan tertinggi terhadap negara, rakyat

Tangkap layar poster ucapan tahniah yang dikongsikan Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
Tangkap layar poster ucapan tahniah yang dikongsikan Ismail Sabri menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melahirkan ucapan tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas penerimaan Ijazah Kedoktoran Kehormat Sains Politik dan Hubungan Antarabangsa daripada Universiti Marmara.

Beliau berkata, penganugerahan itu merupakan penghormatan tertinggi terhadap negara dan rakyat.

“Penganugerahan ini adalah sebagai mengiktiraf sumbangan Seri Paduka Baginda dalam memelihara keamanan sejagat serta memperkukuh hubungan Turkiye dan Malaysia.

“Ijazah kedoktoran terhormat ini bukan sahaja amat bermakna buat Seri Paduka Baginda, tetapi juga merupakan penghormatan tertinggi terhadap Malaysia dan rakyatnya.

“Universiti Marmara merupakan institusi pengajian tinggi di Turkiye yang menyaksikan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan memperoleh ijazahnya pada tahun 1981. Tahniah Tuanku,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Sabtu.

Pada acara penganugerahan yang diadakan pada Sabtu, Al-Sultan Abdullah dipersembah dengan persalinan jubah kedoktoran baldu merah bersulam emas beserta sijil dan sebuah plak.

Turut mengiringi baginda menerima penganugerahan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Naib Presiden Turkiye, Fuat Oktay.

Hadir sama ialah Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Semasa berkenan menerima skrol itu, Al-Sultan Abdullah menzahirkan ucapan terima kasih kepada universiti berkenaan dan berbesar hati dianugerahkan ijazah kedoktoran kehormat tersebut.

Pada masa sama Yang di-Pertuan Agong bertitah, sebagai negara Islam yang moden serta progresif, Malaysia dan Turkiye boleh memupuk kerjasama lebih kukuh dalam bidang pendidikan.

Al-Sultan Abdullah percaya inisiatif sedemikian boleh menjadi pemangkin kepada umat Islam yang bersatu dan lebih kuat.