Kehadiran jemaah masjid di Pulau Pinang 100 peratus

Sebanyak 200 buah motosikal terlibat dalam konvoi sempena Program Jauliah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride To Khaira Ummah 2020 di Bandar Sungai Pinang pada Sabtu. (Gambar kecil: Khairul Azman)
Sebanyak 200 buah motosikal terlibat dalam konvoi sempena Program Jauliah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride To Khaira Ummah 2020 di Bandar Sungai Pinang pada Sabtu. (Gambar kecil: Khairul Azman)
A
A
A

GEORGETOWN - Kehadiran jemaah masjid di seluruh Pulau Pinang kembali pulih berbanding sebelum ini aktiviti masjid dihadkan akibat penularan wabak Covid-19.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Khairul Azman Azizan berkata, ketika ini, pihaknya sedang giat menganjurkan dan melaksanakan pelbagai aktiviti untuk mengimarahkan semula masjid.

"Apabila masjid dibuka sepenuhnya selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, kehadiran jemaah di semua 214 buah masjid dan 506 buah surau di seluruh Pulau Pinang mencapai 100 peratus.

"Bagaimanapun, kita masih giat mempromosikan masjid dengan pelbagai aktiviti bagi mengimarahkan semula masjid selepas semua aktiviti dihadkan ketika Covid-19 melanda.

"Kita tidak lagi menunggu orang di masjid sebaliknya turun padang untuk mendekati masyarakat supaya mereka lebih berminat untuk terlibat dengan aktiviti masjid," katanya ketika ditemui selepas Program Jauliah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride To Khaira Ummah 2020 di Bandar Sungai Pinang di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, sebanyak 200 motosikal menyertai Program Jauliah Merdeka Pengimarahan Takmir 3.0 Ride To Khaira Ummah 2020 yang melibatkan 11 masjid di seluruh negeri ini.

Konvoi tersebut yang dilepaskan oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow itu bermula daripada Masjid Albukhary di Bandar Sungai Pinang dan dijangka berakhir di Masjid Seri Serdang, Kepala Batas.

Masjid yang terlibat adalah Masjid Albukhary, Masjid Batu Feringghi, Masjid Bandar Baru Air Itam, Masjid Titi Teras Balik Pulau, Masjid Maqbul Teluk Kumbar, Masjid Sungai Acheh Nibong Tebal, Masjid Lama Sungai Bakap, Masjid Jamek Seberang Jaya, Masjid Jamek Kubang Ulu, Masjid Jamek Ara Kuda Tasek Gelugor dan Masjid Ibadur Rahman Seri Serdang Kepala Batas.

Artikel Berkaitan:

Khairul Azman berkata, konvoi tersebut bertujuan untuk menyemarakkan sambutan bulan Kebangsaan dengan setiap motosikal yang terlibat mengibarkan Jalur Gemilang selain mempromosikan pengimarahan takmir ke 11 buah masjid.

Beliau berkata, program tersebut dianjurkan oleh JHEAINPP dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islamic Bikers.

"Program ini adalah untuk mempromosikan takmir ke seluruh Pulau Pinang. Sempena bulan Kebangsaan, kita mengambil peluang untuk semarakkan program masjid sekali gus menarik perhatian golongan belia untuk mendekati masjid," ujarnya.