Pas tidak terima usul tamatkan kerjasama dengan UMNO

Takiyuddin (tengah) memegang poster Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 pada 3 dan 4 September ini.
Takiyuddin (tengah) memegang poster Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 pada 3 dan 4 September ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas tidak menerima sebarang usul berkaitan menamatkan kerjasama dengan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) untuk dibawa dan diputuskan pada Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 pada 3 dan 4 September ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, setakat ini pusat hanya menerima usul daripada peringkat kawasan yang berhasrat mengukuhkan penyatuan ummah dan MN selaras dengan pendirian parti tersebut.

Katanya, Pas mempunyai 197 kawasan di seluruh negara yang berhak membawa usul ke Muktamar Tahunan kali ini.

"Setakat ini kita belum memuktamadkan usul-usul yang diterima tanpa bahas dan usul-usul yang akan dibahaskan pada muktamar kali ini.

"Walau bagaimanapun, antara usul yang memang dibangkitkan ialah berkenaan MN tapi ia tidak lebih daripada kita menekankan isu penyatuan ummah dan setakat ini tiada usul yang diterima bercanggah dengan pendirian Pas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas meninjau persediaan Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah di sini pada Jumaat.

Takiyuddin (tengah) ketika sidang media selepas membuat tinjauan persediaan Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Jumaat.
Takiyuddin (tengah) ketika sidang media selepas membuat tinjauan persediaan Muktamar Tahunan Pas kali ke-68 di Kompleks Pas Kedah pada Jumaat.

Menurutnya, Pas dalam masa yang sama juga sedang berusaha mencari jalan bagi mengelakkan pertembungan dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan merugikan penyatuan ummah.

Artikel Berkaitan:

"Kita masuk pilihan raya kita mahu menang, ada situasi sebelum ini pertandingan lebih daripada dua penjuru. Dua-dua pihak yang terlibat dalam penyatuan ummah ini kalah dan yang menang pihak ketiga.

"Jadi saya boleh mengesahkan bahawa usaha untuk mengelakkan perkara itu menjadi keutamaan kita dan memang kita mengambil pelbagai langkah untuk mengelakkan ia daripada berlaku," katanya.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, seramai 1,300 perwakilan akan menyertai muktamar tahunan kali ini yang berlangsung di Kompleks Pas Kedah dan kemungkinan menjadi muktamar terakhir parti itu sebelum PRU15.

"Pas turut menjemput wakil daripada semua parti komponen dalam Perikatan Nasional, pimpinan tertinggi UMNO serta pengerusi Gerakan Tanah Air, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita juga menjemput perwakilan daripada parti-parti politik luar negara terutama yang melibatkan gerakan Islam, wakil kedutaan di negara ini, bagaimanapun setakat ini semua jemputan ini belum ada pengesahan kehadiran lagi," katanya.

Takiyuddin menambah, sejajar dengan muktamar kali ini juga, Pas turut mengadakan Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat, Muktamar Dewan Ulamak Pas, Muktamar Dewan Muslimat Pas Pusat, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung Pas dan Konvensyen Assabiqun (veteran) Pas pada 1 dan 2 September.