Dana RM290,000 diperlukan naik taraf Masjid Ar-Rahmah

Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf. - Foto ihsan Masjid Ar-Rahmah
Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh perlukan dana segera untuk pembelian tanah bagi projek naik taraf. - Foto ihsan Masjid Ar-Rahmah
A
A
A

KOTA BHARU - Pihak pengurusan Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh di sini menyasarkan pembelian tanah seluas 0.3 hektar yang bernilai RM290,000 bagi menaik taraf masjid itu.

Imam Satu Masjid Ar-Rahmah, Abdul Karim Mashor berkata, tanah tersebut terletak bersebelahan tapak asal masjid berkenaan.

“Setakat Khamis lalu, jumlah dana terkumpul ialah RM199,258.50 dan perlu dicukupkam sebanyak RM290,000 supaya pembelian tanah dapat disegerakan.

“Mengikut perancangan hanya tinggal dua bulan lagi tempoh persetujuan dengan pemilik tanah untuk kami membeli tanah tersebut dan barulah kita boleh mulakan kerja naik taraf masjid berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, usaha menaik taraf masjid tersebut dijangka dapat memberi lebih keselesaan kepada lebih 600 jemaah setempat.

Tanah bersebelahan Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh yang ingin dibeli. - Foto ihsan Masjid Ar-Rahmah
Tanah bersebelahan Masjid Ar-Rahmah Mukim Pangkal Kalong, Ketereh yang ingin dibeli. - Foto ihsan Masjid Ar-Rahmah

“Jemaah semakin meningkat daripada 200 sebelum ini kepada 600 dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini selepas pertambahan taman perumahan baharu di kawasan ini.

“Sehubungan itu, masjid yang berusia hampir 40 tahun ini perlu dinaik taraf seiring dengan pertambahan jemaah supaya mempunyai ruangan solat yang lebih selesa, tandas yang baharu dan tempat berwuduk lebih elok untuk jemaah mahupun musafir untuk beribadat,” katanya.

Menurut Abdul Karim, pentadbiran masjid memperkenalkan sistem wakaf iaitu RM50 bagi satu lot tanah.

“Orang ramai berpeluang berwakaf dan mendapat pahala dalam membantu masjid membeli sebidang tanah tersebut.

“Bagi yang ingin menyumbang boleh salurkan ke akaun Masjid Ar-Rahmah 03030000993715 Bank Muamalat atau hubungi talian 011-2638 6886 untuk pertanyaan lanjut,” katanya.