SC, UM, Monash University Malaysia meterai kerjasama

Salmah Bee (tengah) bersama Johan Shamsuddin (kanan) dan Nafis (kiri) pada majlis menandatangani MoU antara SC, UM dan Monash pada Khamis.
Salmah Bee (tengah) bersama Johan Shamsuddin (kanan) dan Nafis (kiri) pada majlis menandatangani MoU antara SC, UM dan Monash pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Malaya (UM) dan Monash University Malaysia untuk bekerjasama dalam beberapa siri program ke arah memupuk pemahaman awal tentang prinsip, amalan dan isu tadbir urus korporat dalam kalangan belia.

Inisiatif yang merupakan sebahagian daripada Keutamaan Strategik Tadbir Urus Korporat SC 2021-2023 (Keutamaan Strategik CG) ini bertujuan untuk meningkatkan penglibatan dalam segmen belia dan menerapkan pemahaman awal yang lebih baik tentang tadbir urus korporat.

Pengerusi SC Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin berkata, pihaknya didorong matlamat yang sama untuk melibatkan, memperkasa golongan muda serta keperluan untuk menyemai nilai integriti dan akauntabiliti awal dalam kalangan belia.

“Kami berharap usaha bersama ini akan memberi impak berpanjangan dan positif kepada para belia,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

MoU ini ditandatangani pada Khamis oleh Pengarah Eksekutif Pembangunan Pasaran SC, Salmah Bee Mohd Mydin; Dekan Fakulti Undang-Undang UM, Profesor Madya Datuk Dr Johan Shamsuddin Sabaruddin dan Ketua Fakulti Perniagaan Monash, Profesor Nafis Alam.

Kerjasama ini turut akan membuka laluan kepada SC dalam penglibatan bersama pelajar dan ahli fakulti, antara lain melalui syarahan jemputan melibatkan pengamal dan pakar industri CG yang bertujuan untuk meluaskan pendedahan pelajar kepada perbincangan serta perkembangan semasa berhubung tadbir urus korporat.

Peluang untuk penyelidikan bersama juga akan diterokai yang hasilnya akan menyumbang kepada pembangunan dasar dan inisiatif strategik SC pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berbesar hati bekerjasama dengan SC dalam inisiatif ini untuk memupuk penghayatan prinsip tadbir urus korporat dan amalan terbaik yang berkaitan dalam kalangan pelajar.

“Kami berharap kerjasama ini akan mendorong pembangunan pemimpin korporat masa depan yang mempunyai pandangan kukuh dalam tadbir urus korporat,” ujarnya.

Presiden dan Pro Naib Canselor Monash University Malaysia, Profesor Matthew Nicholson pula berkata, pihaknya komited terhadap pembangunan modal insan di Malaysia melalui kecemerlangan dalam pendidikan dan penyelidikan yang merupakan matlamat dikongsi bersama.