KMKM 2022 WPKL semarak semangat kibar Jalur Gemilang

Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -Foto Bernama
Program Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kemeriahan Bulan Kebangsaan dan semangat patriotisme disemarakkan lagi di sekitar ibu negara menerusi program dua hari Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM) 2022 peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) yang berakhir hari ini.

Lebih 40 peserta konvoi daripada pelbagai agensi yang menggunakan pelbagai kenderaan tiba di pekarangan Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kira-kira 11 pagi tadi selepas mengedarkan lebih 2,000 Jalur Gemilang di beberapa perhentian antaranya Institut Pendidikan Guru Kampus Ilmu Khas dan KL Sentral.

Antara agensi terlibat ialah Jabatan Penerangan (Japen), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata program tersebut merupakan antara aktiviti dijalankan bagi meniup dan menyemarakkan semangat masyarakat untuk bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis, rumah mahupun kenderaan.

"Di Kuala Lumpur, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan terus bersama-sama dengan Majlis Perwakilan Penduduk bagi menggalakkan orang ramai di peringkat akar umbi mengibarkan Jalur Gemilang dan menukar bendera usang kepada yang baharu.

"Kibarkanlah Jalur Gemilang kita ini dengan penuh rasa bangga," katanya pada majlis penutup konvoi tersebut di sini hari ini. - Bernama