'Orang seperti Nur Jazlan punca BN tumbang' - Saravanan

M Saravanan
M Saravanan
A
A
A

KAJANG - Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menempelak kenyataan Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyarankan UMNO tidak boleh mengharapkan parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Saravanan berkata, sepatutnya parti dalam BN pada ketika ini bersatu dan menyokong antara satu sama lain bagi mengukuhkan kedudukan masing-masing sekali gus memastikan BN kembali menerajui kerajaan.

“Orang seperti Nur Jazlan menjadi punca BN tumbang, tak sedar diri. Inilah masalah yang dihadapi sekarang, (Nur Jazlan) tidak pernah sedar peranan MIC dan MCA yang telah memberi ‘fix deposit’ kepada BN untuk memang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Kerajaan hari ini di bawah kepimpinan Perdana Menteri cuba mempertahankan institusi tersebut, tetapi orang macam Nur Jazlan cepat melatah,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Diskusi Minda: Isu pekerja asing di Malaysia, apa penyelesaiannya yang dianjurkan Majlis Profesor Negara (MPN) pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Nur Jazlan minggu lalu yang beranggapan UMNO akan ‘lumpuh’ dalam tempoh 10 tahun lagi jika masih tidak berani melakukan perubahan.

Nur Jazlan dilaporkan berkata, UMNO tidak boleh lagi terlalu mengharapkan sumbangan besar MIC dan MCA kepada BN pada PRU15 kerana sehingga kini masih belum kelihatan pengundi bukan Melayu kembali menyokong BN.

Dalam pada itu Saravanan berkata, BN yang menggabungkan UMNO, MIC dan MCA ditubuhkan atas dasar sebuah perjuangan dan bukan untuk kepentingan individu.

“Sejarah sudah buktikan, dulu semua parti Melayu di bawah UMNO, hari ini Melayu ada beberapa parti.

Artikel Berkaitan:

“Semua tinggalkan UMNO, yang ada MIC dan MCA sahaja yang kekal bersama, kalau tidak, BN tak wujud,” katanya.