Lelaki diberkas ugut bunuh isteri

Suspek berumur 35 tahun itu diberkas kira-kira jam 9 malam.
Suspek berumur 35 tahun itu diberkas kira-kira jam 9 malam.
A
A
A

AMPANG - Ugutan seorang individu yang ingin membunuh serta mencacatkan isterinya gara-gara tidak berpuas hati dengan penceraian difailkan mangsa membawa padah apabila suspek diberkas di sebuah rumah di Kampung Baru Air Panas di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian berlaku pada 16 Ogos lalu apabila mangsa dihubungi suspek ketika mangsa berada di Ampang Waterfront.

"Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek tidak berpuas hati kerana mangsa telah memfailkan penceraian yang kemudian membuat ugutan dengan mengatakan 'akan memastikan mangsa mati dan cacat seumur hidup'.

"Mangsa ketakutan selepas diugut suspek kemudiannya tampil membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Katanya, siasatan dijalankan kemudian membawa kepada tangkapan suspek di Blok Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Air Panas, Jalan Usahawan, Kuala Lumpur.

"Suspek berumur 35 tahun itu diberkas kira-kira jam 9 malam oleh sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang.

"Semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan kes disiasat bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.