Duit belanja kahwin RM27,000 lesap dari akaun bank

See Teng (duduk, dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di Ipoh pada Jumaat.
See Teng (duduk, dua dari kanan) pada sidang media di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Seorang bakal pengantin kehilangan RM27,000 apabila wang simpanan yang dibuat sejak hampir 10 tahun lesap dari akaun hanya dalam tempoh satu hari.

Chang See Teng, 26, berkata, kejadian disedari pada 14 Julai lepas ketika mahu mengeluarkan wang menerusi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), namun tidak berjaya kerana akaun bank telah disekat.

Menurutnya, semakan pihak bank kemudiannya mendapati terdapat enam transaksi mencurigakan ke dua akaun tidak dikenali dengan nilai antara RM3,000 hingga RM5,000.

"Saya tidak pasti bagaimana perkara ini berlaku kerana sepanjang tempoh transaksi itu dilakukan, saya tidak menerima apa-apa makluman atau mesej berkaitan nombor pengesahan transaksi (OTP) daripada bank.

"Malah saya tidak mengenali dua pemilik akaun bank yang menerima transaksi wang itu," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Penyelaras MCA Ipoh Barat di sini pada Jumaat.

Mangsa yang bekerja sebagai kerani di syarikat swasta berkata, kehilangan wang terbabit begitu merunsingkan kerana sepatutnya digunakan bagi perbelanjaan perkahwinannya yang akan berlangsung bulan hadapan.

Dia juga memerlukan wang berkenaan untuk membiayai kos rawatan bulanan sekitar RM1,500 hingga RM2,000 yang perlu dijalani di sebuah hospital di sini.

See Teng bersama Guo Nan menunjukkan enam transaksi yang dilakukan menyebabkan kehilangan wang berjumlah RM27,000.
See Teng bersama Guo Nan menunjukkan enam transaksi yang dilakukan menyebabkan kehilangan wang berjumlah RM27,000.

"Sudah sebulan perkara ini berlaku, sehingga kini belum ada sebarang perkembangan atau makluman daripada pihak bank.

"Saya sendiri tidak tahu status terkini atau penyelesaian terhadap masalah ini, keadaan ini membuatkan saya buntu," katanya.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan dan Perkhidmatan Awam MCA Perak, Low Guo Nan berkata, kes melibatkan kehilangan wang dari akaun bank kini semakin membimbangkan.

Katanya, perkara itu perlu diberi perhatian kerana hampir setiap minggu aduan sama diterima melibatkan kehilangan wang dalam jumlah yang besar.

"Bukan semua kes berlaku disebabkan kecuaian kerana kebanyakan kes yang kita terima, mangsa tidak menggunakan aplikasi sebarangan atau kerap melakukan transaksi.

"Hanya secara tiba-tiba masalah berlaku tanpa sebarang makluman dan peringatan daripada bank," katanya.