Gesa JHEAINPP keluar lesen mesra Muslim

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

GEORGETOWN- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP) digesa mengeluarkan lesen mesra Muslim kepada premis makanan di negeri ini bagi menjaga hak-hak pelanggan Muslim.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang, Dr Zaki Ibrahim berkata, orang Islam di Pulau Pinang berhak berasa selesa ketika menjamu selera di premis makanan sama ada gerai atau restoran.

Menurutnya, lesen mesra Muslim itu bagi membolehkan premis makanan diurus selia dengan garis panduan yang menjaga kehormatan pelanggan Muslim.

"Demi keselesaan orang Islam, Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang mencadangkan JHEAIPP diberi kuasa untuk mengeluarkan lesen mesra Muslim kepada gerai makanan dan restoran.

''Garis panduan untuk mendapat sijil pengiktirafan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) adalah lebih baik tetapi kita sedia maklum cabaran dan proses yang panjang untuk mendapat pengiktirafan halal Jakim,'' katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, tular klip video berdurasi 2 minit 38 saat berhubung dua lelaki Melayu dilihat memasuki sebuah restoran bukan Islam di Paya Terubong dipercayai untuk mengambil masakan nasi ayam dan menjualnya di gerai milik orang Melayu di Sungai Ara.

Perkara itu telah mencetuskan ketidakpuasan hati dalam kalangan orang Muslim terutamanya pelanggan yang pernah membeli juadah nasi ayam di kedai terbabit.

Dalam pada itu, kata Dr Zaki lagi, lesen mesra Muslim adalah langkah yang lebih praktikal dan lesen itu perlu dikeluarkan oleh Unit Halal JHEAINPP serta diberi kuasa untuk menjalankan pemantauan.

Selain itu katanya, pihak berkuasa agama Islam di Pulau Pinang perlu menyediakan mekanisme lebih komprehensif agar insiden tular membabitkan premis makanan di Sungai Ara dan di sebuah kompleks beli belah di Persiaran Gurney tidak berulang.

"Insiden ini mencemar imej Pulau Pinang apabila peniaga sebegini mementingkan keuntungan daripada tanggungjawab dan menghormati pengunjung Islam.

"Siasatan yang dijalankan oleh Pertubuhan Pembangunan Ummah Pulau Pinang mendapati pemilik perniagaan tersebut adalah bukan Islam.

"Selain itu, pemilik tersebut tidak mengiklankan bahawa gerainya mendapat pengiktirafan halal," katanya.

Beliau berkata, kekeliruan berlaku apabila pekerja-pekerja kedai itu adalah orang Islam dan proses penyediaan makanan berlaku di tempat berasingan.

"Perkara ini juga disahkan oleh JHEAINPP yang mendapati makanan dimasak di sebuah premis di kompleks beli belah di Persiaran Gurney turut dibawa untuk dijual di gerai Sungai Ara," katanya.

Sebelum ini, JHEAINPP mengesahkan kedai menjual nasi ayam dan itik di Sungai Ara yang terpalit dengan kontroversi disahkan tidak mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pemangku Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Mohd Hanif Omar@Wahab berkata, siasatan mendapati, pemilik kedai tersebut yang juga seorang Muslim turut mempunyai restoran nasi ayam dan itik di sebuah kompleks beli belah di sini.

Katanya, bagaimanapun untuk premis di kompleks beli belah, ia milik bersama antara lelaki Muslim tersebut bersama seorang pemilik bukan Islam.

Ujarnya, pemeriksaan pada premis di pusat beli belah tersebut juga didapati tidak mempunyai SPHM.