Puluhan penumpang cemas kereta api terlibat kemalangan

Kemalangan kereta api turut membabitkan sebuah pacuan empat roda serta lori dalam kejadian di Jalan Lintas berhampiran KKIA, Kota Kinabalu pada petang Khamis.
Kemalangan kereta api turut membabitkan sebuah pacuan empat roda serta lori dalam kejadian di Jalan Lintas berhampiran KKIA, Kota Kinabalu pada petang Khamis.
A
A
A

KOTA KINABALU - Puluhan penumpang kereta api berhadapan detik cemas dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan termasuk lori dan pacuan empat roda di Jalan Lintas berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, pada petang Khamis.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, semua individu dilaporkan selamat termasuk pemandu lori dan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan membabitkan kereta api dengan lori dan pacuan empat roda.

"Kereta api dari arah Papar menuju ke Kota Kinabalu manakala dua kenderaan dari arah Luyang menghala ke KKIA.

"Setakat ini, tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kematian dan keterangan lanjut kita akan berikan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Beliau dalam pada itu berkata, pihaknya masih menyiasat punca dan bagaimana kemalangan itu berlaku.

"Kita sedang menyiasat bagaimana kemalangan ini berlaku dan siapa punca kecuaian sehingga menyebabkan kemalangan," katanya.

Sebelum itu, akibat kemalangan terbabit menyebabkan laluan berkenaan mengalami kesesakan lalu lintas sebelum dua kenderaan yang terlibat dialihkan dari landasan kereta api.

Artikel Berkaitan: