Pasangan kekasih berdepan hukuman gantung

Lelaki warga Singapura dan wanita tempatan dituduh memiliki serta mengedar dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
Lelaki warga Singapura dan wanita tempatan dituduh memiliki serta mengedar dadah di Mahkamah Majistret Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sepasang kekasih berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas dua pertuduhan mengedar dan memiliki dadah, bulan ini.

Bagi pertuduhan pertama, Loh Kok Kiong, 49, dan Soh Yong Xin, 32, didakwa bersama-sama mengedar methamphetamine dengan berat kasar 9.625 kilogram di Blok F-21-10, Ataraxia 2, Jalan Forest City 15, Forest City, Gelang Patah dekat sini pada jam 11.15 pagi, 9 Ogos lalu.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin, namun tiada sebarang pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mereka mengaku tidak bersalah memiliki ketamin seberat 666 gram di lokasi sama, pada waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di mahkamah yang sama, Kok Kiong menghadapi empat lagi pertuduhan mengedar, memiliki dan memasukkan dadah ke dalam badannya pada tarikh yang sama.

Lelaki warga Singapura itu mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan bagi dua pertuduhan dihadapinya iaitu mengedar 1.505 kilogram methamphetamine dan 139 gram nimetazepam pada jam 1.30 petang di B-21-12, Residensi Lapan, Jalan Sutera Kuning, Taman Sutera di sini.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan minimum 15 sebatan.

Selain itu, dia didakwa memiliki 100 gram ketamin pada jam 11.15 pagi di kawasan letak kereta berhadapan Blok F, apartment sama di Forest City, Gelang Patah di sini.

Bagi pertuduhan terakhir, lelaki itu mengaku tidak bersalah memasukkan methamphetamine ke dalam dirinya pada jam 10.30 malam di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 boleh dihukum Seksyen 15 akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun dan perintah pengawasan selama dua hingga tiga tahun.

Pendakwaan yang dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Danial Munir tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 20 September depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan patalogi.